Majlis Amanah Rakyat (Mara) tampil membantu dua kanak-kanak yang kehilangan bapa dalam nahas jalan raya di Klang dengan mengambil mereka sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran Mara (YPM).
Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua beradik tersebut, Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, adalah anak kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut dalam kemalangan tragis baru-baru ini.
Menurut beliau, bantuan ini bukan sekadar sementara, sebaliknya satu komitmen jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan pendidikan mereka terus terjamin.
Di bawah inisiatif itu, kedua-dua kanak-kanak akan menerima elaun bulanan RM120 ketika di sekolah rendah, yang akan meningkat kepada RM150 apabila melangkah ke sekolah menengah, selain pemantauan berterusan sehingga tamat persekolahan.
Pemandu Mabuk Disabit Seksyen 302, Isteri Mangsa Luah Rasa Syukur – “Saya Mahu Nyawa Dibalas Nyawa”
Dalam masa sama, Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa, selain menitipkan kata-kata semangat agar kedua-dua anak tersebut terus tabah dan berusaha dalam pelajaran.
Beliau juga berkongsi bahawa kehilangan Allahyarham memberi kesan mendalam kepada keluarga, apatah lagi arwah disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga.
Terdahulu, mangsa maut selepas dirempuh seorang pemandu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang. Suspek telah direman bagi membantu siasatan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
