Model Indonesia, Manohara Odelia Pinot, mencetuskan perhatian ramai selepas mendedahkan kisah gelap masa lalunya melibatkan ibunya sendiri, Daisy Fajarina, menerusi beberapa perkongsian di Instagram Stories.
Dalam pendedahan tersebut, Manohara mengakui dia sukar untuk memanggil wanita yang melahirkannya itu sebagai “ibu”, susulan pengalaman traumatik yang dialami sejak zaman kanak-kanak.
Menurut Manohara, ibunya sering melayannya dengan tidak berperikemanusiaan dan melabelnya sebagai anak yang bermasalah. Akibat tanggapan itu, dia kerap dibawa berjumpa bomoh dan pengamal ritual di Bogor dan Sukabumi kerana dipercayai mempunyai sesuatu yang “jahat” dalam dirinya.
Selain itu, Manohara mendedahkan dia dipaksa menjalani pelbagai ritual yang disifatkan sebagai pelik dan mengelirukan, termasuk minum air ritual, mandi minyak serta amalan lain yang memberi kesan trauma berpanjangan.
“Ibu saya telah lama terlibat secara mendalam dengan ilmu hitam. Di Indonesia, dia sering melawat bomoh dan psikik. Daripada melayan saya seperti kanak-kanak yang mempunyai fikiran sendiri, dia percaya ada sesuatu yang jahat dalam diri saya.”
“Saya dipaksa minum air ritual, mandi minyak dan menjalani ritual yang sangat menakutkan dan mengelirukan. Pengalaman ini sangat traumatik dan ia kekal bersama saya sepanjang hayat dewasa saya.”
Dalam masa sama, Manohara turut menegaskan bahawa perbuatan ibunya tidak ada kaitan dengan ajaran Islam, malah bercanggah sepenuhnya dengan agama tersebut.
“Saya tahu apa yang ibu saya lakukan bukanlah mengenai ajaran Islam, kerana ilmu hitam dilarang dalam agama Islam. Ini bukan mengenai Islam, ia mengenai penderaan kanak-kanak.”
Pendedahan itu turut menjelaskan sebab Manohara mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan ibunya. Selain dilabel sebagai anak bermasalah, dia mendakwa turut mengalami penyeksaan fizikal serta manipulasi emosi secara berulang sejak usia remaja.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
