Penyanyi Zizi Kirana baru-baru ini berkongsi pandangannya mengenai sikap pembuli yang sering mengambil kesempatan untuk menjatuhkan orang lain.
Menerusi hantaran di laman Threads, Zizi menegaskan bahawa pembuli bukanlah individu yang hebat, sebaliknya hanyalah manusia kosong yang tidak mampu melihat orang lain lebih daripada dirinya.
Pembuli ni tak pernah hebat. Dia cuma manusia kosong yang takut tengok orang lain lebih dari dia. Dia pijak orang bukan sebab dia kuat, tapi sebab dia lemah.
Tambah Zizi lagi, sikap manipulatif dan perasaan tidak yakin diri (insecure) sering menjadi topeng bagi pembuli untuk menutup kelemahan sebenar mereka.
Pembuli biasanya berselindung di sebalik kekurangan empati untuk menutupi rasa ketidakmampuan dalam menghadapi diri sendiri.
Manipulatif, insecure, tiada empati, semua tu topeng untuk sorok hakikat yang dia tak mampu hadap diri sendiri.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu EH ini turut mengingatkan bahawa orang yang berusaha untuk menjatuhkan orang lain adalah ‘loser’ sebenar.
“Kau nak tahu siapa ‘loser’ sebenar? Dia lah orang yang perlu jatuhkan orang lain untuk rasa bernilai,” tambah Zizi, memberi penekanan kepada betapa lemahnya sikap tersebut.
Kenyataan Zizi ini mendapat sokongan ramai netizen di ruangan komen, yang bersetuju dengan pandangan tersebut. Mereka turut meluahkan perasaan kecewa terhadap budaya buli yang semakin berleluasa dalam masyarakat.
Terkini, kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir yang dipercayai terlibat dengan buli di kalangan pelajar turut mendapat perhatian ramai.
Kejadian ini telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya apabila terdapat dakwaan yang melibatkan anak seorang menteri dan individu ternama lain, yang telah mencetuskan reaksi orang ramai yang menuntut keadilan bagi mangsa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.