Mangsa Expo Kerja Di TH Hotel, Alor Setar Buat Laporan Polis

Trending

Mangsa Expo Kerja Di TH Hotel, Alor Setar Buat Laporan Polis

expo_kerja_tipu

Mangsa yang didakwa diperdaya penganjur ekspo kerjaya Sabtu lalu di TH Hotel Alor Setar, tampil membuat laporan polis.

Advertisement

Siti Asmaa Nabilah Abidin, 23, berkata, penganjur perlu bertanggung jawab atas apa yang berlaku sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai, khususnya pencari kerja yang hadir pada ekspo berkenaan.

“Penganjur harus berikan penjelasan sekiranya apa yang dilakukan itu tidak salah, kerana kesemua yang hadir berasa terpedaya dengan iklan menarik itu, yang tidak dinyatakan syarat membeli borang permohonan kerja,” katanya, selepas membuat laporan polis berhubung kes berkenaan, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Menurutnya, dia berharap penganjur membayar semula wang kutipan borang terbabit kerana ia tidak adil kepada pencari kerja, yang masih menganggur.

“Jika wang itu tak dapat semula, sekurang-kurangnya menjadi pengajaran kepada penganjur supaya tidak lagi memperdaya orang ramai pada masa depan. Bayangkan, jika saya kena beli RM50 untuk lima borang, yang datang sekitar 1,000, bermakna dia kaut untung hampir RM50,000. Ada juga yang balik selepas dimaklumkan tentang bayaran,” katanya.

Lepasan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, dia mula curiga apabila dimaklumkan pada sesi taklimat bahawa setiap borang dikenakan bayaran RM10, dengan minimum pembelian lima borang.

“Saya bayar RM50 sebab dah lama beratur, masa sesi temuduga mereka hanya tanya pendapat sahaja. Saya tak syak apa-apa sehinggalah peserta akhir kumpulan kami dipaksa beli lima borang, sedangkan dia tak mahu beli,” katanya.

Menurutnya, seorang peserta maklumkan untuk taklimat resume dikehendaki membayar RM50 lagi, menyebabkan Siti Asmaa Nabilah tidak sertai sesi seterusnya.

“Saya bertambah pelik bila masuk kawasan gerai jualan yang sebahagian besar bukan tawarkan kerjaya atau bimbingan kepada graduan, waktu itu memang rasa tertipu. Bila semak Facebook, penganjur dah tutup page,” katanya.

Rakannya, Mohamad Zarif Afzan Norizan, 24, terpaksa meminjam wang daripada rakannya untuk membayar lima borang permohonan kerja.

“Saya tak bawa duit, penganjur seolah desak bayar, konon ia syarat untuk dapatkan borang kerja. Rakan saya pinjamkan RM50, kerana rasa rugi pula sebab memang niat mahu datang sini dan cari kerja,” katanya.

Menurut graduan Kolej PTPL ini, iklan yang diuarkan melalui laman sosial dan papan iklan memang menarik berikutan menawarkan lebih 5,000 peluang kerja termasuk daripada syarikat ternama.

“Tak sangka pula jadi begini. Saya harap penganjur tidak lepas tangan dan tampil berikan penjelasan kerana reaksi netizen di laman sosial lebih ‘meriah’, cuma mereka tak tampil seperti kami,” katanya.

Sementara, Pengerusi Media Sosial Prihatin, Amirul Syahir Musa berkata, perkara ini tidak seharusnya berlaku, apatah lagi mangsa merupakan lepasan graduan dan penganggur.

“Saya mohon semua mangsa yang terpedaya tampil membuat laporan polis bagi mengelak kejadian berulang. Anda di pihak yang benar, kita tidak mahu pihak terbabit terlepas begitu sahaja tanpa tindakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu memandang serius kerana kes ini melibatkan kerugian banyak pihak.

“Kami harap Jabatan Sumber Manusia meneliti semula lesen atau kebenaran untuk pihak terbabit mengadakan program seumpama. Pihak berwajib harus tegas sebagai pengajaran,” katanya. Sumber – Sinar Harian

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...