Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penularan video berdurasi 13 saat di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu sehingga terhentak pada tiang di Miri, bukanlah insiden buli.
Ketua Polis Daerah Miri memaklumkan, pelajar yang didakwa sebagai mangsa dalam video tersebut tampil membuat laporan bersama ibu bapanya pada 23 September lalu. Dalam laporan itu, pelajar berkenaan menafikan dirinya dibuli, sebaliknya menjelaskan kejadian itu hanyalah gurauan keterlaluan bersama rakan-rakan sejurusan Automotif sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September 2025.
Siasatan awal yang dilakukan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar institusi pengajian terbabit turut mengesahkan kejadian itu berlaku di dalam kawasan kampus dan tiada unsur paksaan atau penderaan, sebaliknya gurauan berlebihan. Pihak institut bagaimanapun akan mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang terlibat.
PDRM menegaskan pihaknya memandang serius isu buli kerana ia boleh mendatangkan kecederaan dan trauma. Justeru, semua pihak berkaitan termasuk pegawai institut, ibu bapa serta pelajar berusia 18 hingga 24 tahun yang terlibat telah dipanggil untuk diambil keterangan. Kes ini bagaimanapun diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action/Tiada Tindakan Lanjut) selepas siasatan lengkap dijalankan.
Pihak polis menegaskan pemantauan akan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya wujud bukti baharu yang menunjukkan elemen buli dalam kejadian tersebut.