Selepas tampil menghulurkan sumbangan wang kemenangan MLM 2019 sebanyak RM50,000 bagi memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan ketika krisis COVID-19, Man Raja Lawak kini mahu menjual kereta dan motosikal miliknya demi membantu individu yang mempunyai masalah kewangan.
Menerusi akaun Instagramnya, pelawak ini bertanya andai ada pihak yang sudi membeli kedua-dua kenderaan secara tunai. Wang hasil jualan itu dapatlah menambahkan jumlah sumbangan kerana sejak semalam dia sudah menerima ribuan permohonan.
Menurut Man, mereka yang meminta bantuan perlu dibantu meskipun jumlah wang yang diminta adalah sedikit.
Ingin jual pada harga mampu milik
Tiada masalah guna kereta Kancil asalkan dapat bantu orang susah
Menjawab pertanyaan bagaimana dia ingin membawa isteri dan anak bersiar-siar selepas ini, Man berkata dia tidak mempunyai masalah untuk menggunakan kereta Kancil selepas ini, asalkan dapat membantu golongan memerlukan.
Situasi kini adalah waktu yang sesuai untuk dia melakukan amal kebajikan membantu dan berusaha untuk ke syurga Allah.
Keperibadian dan keikhlasan hati Man memberikan satu makna yang begitu besar buat mereka yang sedang menghadapi kesusahan susulan krisis penularan COVID-19 yang melanda negara. Semoga segala urusan Man dipermudahkan.