Perkongsian terbaharu daripada penyanyi rap dan komposer tersohor, Malique, kembali mencuri perhatian ramai selepas beliau memuat naik satu foto misteri di laman media sosialnya.
Malique, yang sinonim dengan gelaran Mr. General, berkongsi gambar pintu gerbang Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di Tanjung Rambutan, Perak, pada Rabu tanpa sebarang kapsyen atau penjelasan lanjut.
Tindakan itu sekaligus mengundang pelbagai spekulasi dan persoalan dalam kalangan peminat yang tertanya-tanya tujuan sebenar beliau ke pusat perubatan berkenaan.
Walaupun tiada penjelasan diberikan, ramai peminat memilih untuk mendoakan yang baik-baik buat Malique, manakala segelintir yang lain meneka bahawa kunjungan itu mungkin untuk melawat sahabat rapatnya, penyanyi Yasin Sulaiman.
Sekadar makluman, pada 28 April lalu, Yasin menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan membebaskan beliau daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, sekali gus mengetepikan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.
Bagaimanapun, meskipun dibebaskan, Yasin kini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor, sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
