Malaysia Terima 182,520 Dos Tambahan Vaksin COVID-19 Esok

COVID-19

Malaysia Terima 182,520 Dos Tambahan Vaksin COVID-19 Esok

Walaupun masih dalam proses pengagihan vaksin mengikut fasa, Malaysia juga khabarnya akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech, esok, untuk edaran ke negeri yang belum memperoleh bekalan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, vaksin berkenaan yang dikeluarkan di Belgium, dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dari Singapura pada sebelah pagi.

Advertisement

“Vaksin itu akan dihantar ke negeri yang belum menerima bekalan,” katanya pada sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, di sini, hari ini.

Khairy berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak, esok, manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan pula Khamis ini.

Kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech selamat tiba di Malaysia melalui pintu masuk negara di KLIA, Johor dan Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa yang bermula esok, dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitkan 500,000 orang.

Fasa 2 (April hingga Ogos) membabitkan 9.4 juta orang dalam kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).

Fasa 3 (Mei 2021 hingga Februari 2022) pula untuk penduduk di Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Lapor Bernama, sebelum ini Khairy dilaporkan berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bakal menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19, esok, yang menandakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula lebih awal daripada jadual asal pada Jumaat ini.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...