Malaysia hari ini tidak melaporkan sebarang kematian kes COVID-19 buat pertama kalinya dalam masa sebulan.
“Kita perlu meneruskan apa yang kita lakukan di PKP fasa satu dan dua, dan semoga dengan berbuat demikian kita dapat menurunkan lagi angka tersebut.”
- Dato’ Dr. Noor Hisham
Sebanyak 36 kes COVID-19 baharu yang dilaporkan pada hari ini (20 April 2020), kenaikan harian terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Ia juga merupakan hari keempat berturut-turut di mana jangkitan baharu dilaporkan dua digit.
Pada sidang media harian Kementerian Kesihatan berkaitan COVID-19 hari ini, turut diumumkan bahawa sebanyak 98 orang pesakit telah berjaya dipulihkan.
“Hari ini terdapat 36 kes yang paling rendah, tetapi kami mahu melihat kes dilaporkan satu digit. Mungkin kita dapat mencapai satu digit dalam masa satu minggu.”
Setakat ini, 3,295 pesakit telah pulih dari COVID-19 di Malaysia sejak wabak itu bermula.
Malaysia berada pada hari ke-34 hari ini untuk PKP, di mana rakyat diarahkan untuk tinggal di rumah dan hanya melakukan pergerakan yang terhad.