Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur antarabangsa dalam sektor digital apabila merekodkan pelaburan bernilai RM16.2 bilion dari Januari hingga pertengahan April 2025.
Menteri Digital, Yang Berhormat (YB) Gobind Singh Deo berkata pelaburan tersebut dijangka membuka kira-kira 6,500 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu isyarat positif terhadap kemajuan ekonomi digital negara.
Menurut laporan Malay Mail, beliau memaklumkan bahawa “pelaburan tertinggi datang dari sektor pusat data dan teknologi ‘cloud’, yang menyumbang lebih 60% daripada jumlah keseluruhan atau RM9.9 bilion.”
Pada masa yang sama, syarikat yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi penyumbang utama dalam kalangan syarikat baharu Malaysia Digital (MD), meliputi 27% daripada keseluruhan.
Ketika ini, terdapat 3,891 syarikat berstatus MD yang aktif di seluruh negara, termasuk 254 syarikat yang beroperasi di wilayah utara, khususnya di Pulau Pinang.
Pulau Pinang merekodkan pelaburan sebanyak RM1.23 bilion dengan 266 peluang pekerjaan bakal diwujudkan, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan perisian terbenam (embedded).
Dalam ucapan beliau semasa Hari Terbuka Malaysia Digital di Bangunan UAB, Gobind turut menyatakan bahawa antara lima negara utama yang menyumbang kepada pelaburan digital di Malaysia ialah Belanda, Singapura, Hong Kong, India dan United Kingdom.
Antara yang menarik perhatian, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada dua acara penting tahun depan – Malaysia AI Summit 2025, yang akan mengumpulkan pemain industri AI antarabangsa, dan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025, yang memberi tumpuan kepada penyelesaian bandar pintar serta kerjasama serantau Asia Tenggara.
Bagi memperkukuh pembangunan digital di peringkat wilayah, sebuah pejabat serantau akan diwujudkan di Pulau Pinang bagi menyelaras pelaksanaan program di utara Semenanjung merangkumi negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.