Makan sekali sehari dan kemuarahan hati saudara senegara mencekalkan hati Mohd Nasir Houladash untuk mengharungi empat bulan tanpa gaji sejak Disember.
Panggilan kepada dua majikannya tidak berangkat. Meskipun begitu, Nasir, yang kini melakukan dua kerja sehari di ibukota tetap percaya Malaysia dihujani emas dan dipenuhi dengan orang yang baik belaka,lapor FMT.
Seorang pekerja am, Nasir telah berada di Malaysia sejak 9 tahun lalu. Bercakap kepada FMT, warganegara Bangladesh yang berusia 32 tahun ini berkata majikannya sekarang ini melayan dirinya dengan baik, malah turut dijemput untuk bersama pulang ke kampung setiap kali ada kenduri.
“Saya suka Malaysia kerana sini mudah mendapat mata pencarian, asalkan tak malas mesti ada kerja,” katanya.
Nasir memilih untuk bekerja setiap hari, dan hanya mengambil cuti satu hari hanya apabila tersangat letih.
Begitu juga ceritanya dengan V Thangarasu daripada Chennai. Tukang gunting rambut ini berkata pengalaman 13 tahun berada di negara ini menyenangkan kerana majikannya seorang yang baik hati.
Majikannya memiliki Stylo Barbershop yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock.
“Saya boleh balik jumpa isteri dan dua anak saya setiap tahun dan kos penerbangan untuk semua pekerja ditanggung majikan,” kata Thangarasu, 45. Sewa rumah dan makanan untuk pekerja turut ditanggung majikannya.
Bukan majikan Thangarasu seorang yang bermurah hati. Para pelanggan turut memberikan tip kepada tukang gunting rambut dan ang pow sempena Tahun Baru Cina.
Bagi warganegara Myanmar, Aung Hlaing Win, hidup di Malaysia makin sukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini angkara kos sara hidup yang meruncing: Hlaing pertimbang untuk pulang ke negaranya apabila luput visa nanti.
Sembilan tahun berkerja di sebuah kedai binatang peliharaan, Hlaing, 30an, merindui kampung halaman.
Katanya, hidup di Malaysia semacam rutin, pergi ke kerja di waktu pagi dan malam dihabiskan di rumah menggelintar Facebook kerana harga makan minum dan hiburan sudah mahal.
Lain pula ceritanya dengan Mohd Yusuf yang bekerja di kedai jualan runcit. Mengenali orang-orang yang menyenangkan sepanjang sembilan tahun berada di sini membuatkan kehidupannya di Malaysia juga menyenangkan.
“Saya punyai ramai kawan Malaysia daripada pelbagai kaum dan saya bersyukur kerana di mana sahaja saya bekerja saya dilayan dengan baik.”
Yusuf baru sahaja berkahwin, dan mengakui telah jatuh cinta dengan makanan Melayu, terutama sekali nasi goreng kampung. Dia sempat belajar resipi dan cara memasak makanan kegemarannya sewaktu bekerja di sebuah restoran.
Berasal dari Comilla, Bangladesh, Yusuf percaya makanan Malaysia boleh diterima dengan baik di negaranya. Sekiranya ada modal, Yusuf tidak menolak kemungkinan membuka sebuah restoran masakan Malaysia di sana.