Malaysia tidak lagi dianggap ‘syurga’ buat pekerja dari negara jiran, Indonesia untuk datang dan mencari rezeki kerana negara ini bukan lagi destinasi utama mereka.
Jika sebelum ini, ramai warga Indonesia sanggup masuk ke negara ini secara haram dan bergelar pendatang tanpa izin (PATI) namun kini angka tenaga kerja Indonesia (TKI) yang berdaftar menyusut lebih separuh dalam tempoh beberapa tahun.
Duta Besarnya, Datuk Hermono berkata antara faktor utama perkara itu berlaku adalah penguatkuasaan ketat dan sekatan pengambilan pekerja asing.
Selepas pandemik, bilangan warga Indonesia yang tinggal di Malaysia dianggarkan seramai 1.5 juta, termasuk 585,000 pekerja berdaftar.
Jumlah itu jauh lebih kecil berbanding statistik sebelum COVID-19, iaitu 1.13 juta rakyat Indonesia dengan dokumen lengkap dan 1.5 juta PATI. Secara tidak langsung, ini bermakna dasar ketat kemasukan pekerja asing dan penguatkuasaan terhadap PATI berada di landasan betul.
Persoalan baru kini, apakah rakyat kita terutama generasi muda benar-benar bersedia mengisi kekosongan ini selepas sekian lama bergantung kepada buruh luar untuk memenuhi pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar), termasuk perladangan, pertanian, pembinaan dan perkilangan.
Generasi muda enggan sertai sektor ini kerana stigma selain tawaran gaji rendah dan keadaan kerja yang tidak menarik serta menuntut kudrat yang tinggi.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.