Jika anda mengikuti perkembangan industri teknologi tempatan, pasti anda sudah tahu bahawa Malaysia merupakan salah satu negara utama dalam sektor pengeluaran, pembungkusan, dan pengujian cip semikonduktor di dunia.
Syarikat global seperti Intel, AMD, Texas Instruments, Micron, dan lain-lain mempunyai kilang di Malaysia, manakala syarikat tempatan seperti Inari Amertron Bhd dan Malaysian Pacific Industries Bhd pula bertanggungjawab dalam pengujian dan pembungkusan cip-cip semikonduktor ini, memetik BERNAMA.
Dalam Forum Ekonomi Malaysia 2025, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyatakan harapannya agar industri semikonduktor negara dapat berkembang dengan cukup matang untuk menghasilkan cip semikonduktor sendiri, terutamanya CPU (cip pemprosesan komputer) dan GPU (cip pemprosesan grafik) dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
Beliau yakin bahawa Malaysia akan memperoleh kepakaran yang mencukupi, bukan hanya untuk menghasilkan cip-cip untuk syarikat besar seperti Intel dan AMD, tetapi juga untuk menghasilkan produk semikonduktor dari syarikat tempatan, sekaligus membuka peluang pendapatan baru yang signifikan untuk negara.
Komponen-komponen semikonduktor ini dijangka menjadi sumber pendapatan yang lumayan kerana permintaannya semakin meningkat setiap tahun, terutamanya untuk aplikasi dalam bidang AI, industri automotif, pengkomputeran, dan IoT (Internet of Things).
Malaysia kini sudah dikenali sebagai pusat pembungkusan dan ujian cip semikonduktor yang penting, dan dengan kemampuan untuk mengeluarkan komponen-komponen ini, negara dijangka akan semakin mendapat perhatian global.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.