Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia akan menghantar pegawai ke Washington bagi memulakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berkenaan tarif balas sebanyak 24 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia.
Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, turut mengesahkan bahawa delegasi Malaysia dijadual berlepas ke Washington pada akhir April ini.
Anwar menjelaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha diplomasi yang dilakukan secara baik dan terbuka.
Kita akan menghantar pegawai kita ke Washington untuk memulakan proses dialog. Mungkin agak terbatas untuk penilaian semua, tetapi masih ada ruang untuk menyesuaikan dengan pelaksanaan dasar.
Anwar turut berkata, Malaysia akan terus menyesuaikan diri seperti biasa dalam menghadapi perubahan global.
Walaupun keadaan mungkin berubah, Malaysia akan kekal teguh dengan strategi perdagangan yang pelbagai, yang kini semakin berkembang.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia ingin terus menjadi rakan perdagangan yang kukuh kepada AS, tetapi dalam masa yang sama kerajaan akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan ekonomi negara.
Dia juga menyatakan bahawa usaha ini termasuk terlibat secara aktif dengan AS bagi mencari penyelesaian yang saling menguntungkan, sambil memperkukuh hubungan dengan pasaran utama lain di Eropah, Asia, Timur Tengah, dan Afrika.
Sebagai Menteri Kewangan, Anwar berkata hubungan dagang Malaysia-AS selama ini memberi manfaat bersama.
Eksport Malaysia bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga menyediakan pekerjaan berkualiti di AS.
Namun, dia memberi amaran bahawa tindakan seperti tarif balas ini boleh memberi kesan negatif kepada kedua-dua pihak.