Biarpun memilih meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga apa sahaja yang mampu menambah punca pendapatan, pelakon dan pelawak Enot masih kuat menempuh dugaan hidup sebagai ibu tunggal malah tidak betah duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja.
Menurut Enot, meskipun perniagaannya bukanlah sesuatu yang besar namun beliau menyatakan ia sudah cukup memadai bagi menanggung keperluan hidup sebagai ibu tunggal dengan rezeki yang dikurniakan oleh Ilahi.
“Macam sekarang, saya berniaga dari rumah di Keramat. Saya pun tak kemaruk bantuan ketika pandemik COVID-19 ini. Kalau ada… adalah.”
Tambah Enot, beliau langsung tidak terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hingga fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana beliau hanya fokus berniaga dari rumah.
Bagaimanapun bercakap mengenai bantuan, Enot turut mengakui yang dirinya menerima sumbangan barangan keperluan daripada beberapa pihak temasuklah Persatuan Seniman Malaysia dan rakan artis, Didie Alias.
“Bayangkan pada satu tahap, kampit beras penuh di rumah. Sampai saya terpaksa menolak bantuan kerana tak mahu membazir.”
Dalam pada itu, diusik berkenaan soal pengganti dan teman hidup, Enot yang pernah dua kali berkahwin mengakui malas memikirkan soal jodoh.
“Memang tak terfikir pun. Malas nak serabut kepala.”
Untuk rekod, sekitar tahun 2014, Enot dikhabarkan telah serik untuk berkahwin semua selepas gagal dalam perkahwinannya termasuklah melalui pengalaman “menanggung suami”. Malah tetap tabah bergelar ibu tunggal daripada menjadi isteri yang terpaksa bekerja untuk menyara anak-anak dan suami.
Sumber: BH Online