Malang tidak berbau buat sepasang kekasih yang dikesan pihak polis duduk berduaan di pinggir Sungai Kerian apabila mereka dikenakan tindakan kompaun pada Isnin lalu.
Lelaki yang berusia 24 tahun dan pasangannya 21 tahun itu telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pemeriksaan sekitar jam 4.15 petang ke atas pasangan itu mendapati wanita berkenaan yang beralamat di Bandar Baharu telah melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Abdul Raof iaitu sempadan Perak-Kedah dengan alasan ingin pergi ke bank.
“Rutin rondaan dilakukan anggota Balai Polis Parit Buntar telah menemui wanita itu duduk berdua-duaan dengan seorang lelaki di pinggir sungai berkenaan yang mana ia tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh PKP”.
“Atas budi bicara pihak polis, wanita itu dibenarkan melepasi sekatan berkenaan. Namun, setelah urusannya selesai, dia telah mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan teman lelakinya yang tinggal di Taman Seri Semarak”.
Kompaun yang dikeluarkan kepada pasangan tersebut adalah mengikut Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Beliau berkata demikian ketika penyampaian 200 beg bungkusan berisi pelitup muka dan risalah kesedaran sumbangan NGO Team Kampit Rezeki dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak kepada pengguna jalan raya yang melalui SJR Jalan Abdul Raof dan Jalan Dewan.