Siapa sangka dalam era moden kini, Malaysia bakal mempunyai makmal khas untuk mengesan kehadiran makhluk halus. Selepas berjaya mengesan kehadiran saka dalam 10 pesakit mereka, tiga penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berhasrat menubuhkan makmal itu untuk mengkaji tentang makhluk halus.
Sebelum ini, tiga penyelidik iaitu Dr Yohan Kurniawan, Dr Alexander Stark dan Dr Burhan Che Daud berjaya mengesan kewujudan makhluk halus dengan menggunakan kaedah saintifik melalui parameter elektrik, dinamakan ‘Winaura’.
Menerusi alat itu, ianya akan menunjukkan perubahan aura warna badan pada individu sekiranya seseorang itu dikesan memiliki saka. Mereka yang mempunyai saka juga akan menunjukkan aura merah yang banyak melalui alat tersebut.
Perubahan pemilik saka
Kebiasaannya mereka yang mempunyai saka akan mempunyai perubahan pada tingkahlaku mereka seperti bebola mata yang merah, tidak selesa, marah dan ada antaranya yang akan melakukan pergerakan pelik seperti menari dan sebagainya.
Semua perubahan ini akan berlaku dalam tempoh yang pantas dan penyelidik akan membuat pemerhatian dan mencatat kajian ke atas mereka untuk kajian selanjutnya.
“Mereka juga akan diberi bacaan ayat ruqyah, surah al-Fatihah, ayat Qursi dan Yasin serta muzik ulek mayang bagi merangsang minda luar sedar pesakit”
Antara penemuan penyelidik setakat ini adalah mereka yang didapati memiliki saka bersifat kurang matang, mempunyai masalah hubungan dengan orang lain dan kurang kawalan emosi seperti mudah marah. Penyelidik juga menekankan mereka mahu membuktikan fenomena ini melalui kajian saintifik dan bukannya secara spiritual semata-mata.
Dengan kajian secara saintifik ini, penyelidik dapat mengkaji apa yang mempengaruhi pemikiran dan tindak balas melalui alat ukur yang digunakan. Dengan penubuhan ini, mereka berharap dapat membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik dan tiada lagi yang menjadi mangsa penipuan dalam rawatan alternatif yang lain.