Penyanyi Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri,34, semakin dikenali setelah bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah terpilih menjadi Perdana Menteri ke-9 sejak Ogos tahun lalu.
Status sebagai anak kepada Perdana Menteri akui Dafi agak sukar kerana dia sering menjadi mangsa kepada individu-individu yang tidak berpuas hati mengenai pentadbiran bapanya itu kini.
Namun begitu, Dafi berkata dia lebih senang untuk tidak memberi respon kepada kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya di media sosial.
Politik bukan bidang saya dan saya tidak suka bercakap tentang perkara yang saya tidak tahu. Saya tidak berani menjawab jika ada sebarang kecaman berkaitan pentadbiran negara kerana saya tidak mahu terlibat.
Katanya, kecaman-kecaman yang diberi itu mungkin luahan mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi kala ini.
Jelasnya, dia tetap berasa bangga dengan kepimpinan bapanya itu tatkala negara kini berhadapan dengan cabaran pandemik era baru iaitu COVID-19.
Cerita penyanyi lagu Bila Terasa Rindu ini lagi, dia sedar ramai yang mula ‘menghimpit’ dan cuba untuk mendekatinya memandangkan status anak kepada Perdana Menteri yang dibawanya itu pada ketika ini.
Walau bagaimanapun, Dafi memilih untuk ‘mengecilkan’ kelompok kawan-kawan memandangkan usianya juga turut makin meningkat.
Betul ada orang cuba dekat dengan saya selepas ayah menjadi PM. Tetapi apabila usia saya semakin meningkat, saya lebih suka untuk kecilkan kelompok kawan rapat.
Perkembangan terkini, Dafi kini berada di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment dan turut mempunyai perancangan untuk kembali aktif dalam dunia hiburan.