Baru-baru ni kami berpeluang untuk melancong ke Taiwan dan apa yang membuatkan kami jatuh cinta pada negara ini adalah bukan saja ia menyajikan panorama indah, malah terdapat pelbagai kemudahan disediakan khusus untuk umat Islam tau.
Nak tahu apakah antara kemudahan yang tersedia untuk umat Islam di sana, jom kami kongsikan.
Banyak Pendekatan Dalam Mendidik Penduduk Setempat, Dua Pelajar Malaysia Kongsi Pengalaman Di Taiwan
Sebelum kami cerita tentang kemudahan yang disediakan, kami nak berkongsi sesi temu bual bersama dua pelajar Malaysia yang belajar di National Taiwan Ocean University, Liyana Yamin dan Hidayat Abu Bakar tentang pengalaman mereka sepanjang berada di negara tersebut.
Dalam temu bual, Liyana Yamin berkongsi antara cabaran yang dilalui olehnya pada awal tempoh penempatan di Taiwan adalah kurangnya kuliah Islamiah untuk golongan dewasa dan kurangnya orang Islam yang memahami budaya tempatan.
Bukan itu saja, pelajar itu turut berkongsi, media sosial tempatan di sana mempunyai suara kecil untuk orang Islam kerana maklumat Islam yang betul adalah sangat terhad.
Oleh itu, Liyana mengambil peluang memberi pendekatan tentang Islam kepada penduduk setempat menerusi penglibatan dalam pertukaran budaya, menjadi sukarelawan dan terlibat dalam Taiwan Islamic Youth Conference di Taipei Grand Mosque.
Selain itu, Liyana juga menyediakan senarai tempat makanan halal khusus untuk penduduk setempat dan pelancong yang beragama Islam serta menjadi pemandu pelancong.
Manakala, Hidayat Abu Bakar pula berkongsi, di Taiwan, terdapat komuniti Pusat Islamik di media sosial seperti Muslim Students Club, yang merangkumi pelajar-pelajar beragama Islam daripada pelbagai buah negara yang belajar di Taiwan.
Dalam komuniti ini, mereka akan menerima pelbagai perkembangan tentang aktiviti berkaitan keagamaan di Masjid dan Surau di Taiwan seperti kuliah, kelas agama serta kelas mengaji.
Apabila ditanya tentang pandangan penduduk setempat tentang agama Islam, mereka menyatakan penduduk di sana sangat terbuka dan menghormati pandangan dan ajaran Islam.
Mereka juga berkongsi bahawa penduduk di sana sangat peramah dan sangat membantu apabila pelancong memerlukan bantuan.
Daripada temu bual ini, kami yakin dengan segala usaha yang dilakukan, pastinya Taiwan akan menjadi salah sebuah negara yang lebih mesra Muslim pada masa akan datang.
Mesra Muslim, Taiwan Ambil Inisiatif Sediakan Kemudahan Untuk Umat Islam
Tahukah anda, Taiwan menduduki tangga ketiga dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) 2023 dalam destinasi bukan OIC dan menariknya, mereka mengambil inisiatif untuk memudahkan pelancong beragama Islam dengan menyediakan pelbagai kemudahan mesra Muslim tau.
1. Ruang Solat Yang Selesa
Salah satu kemudahan yang disediakan dan bagi kami antara kemudahan yang penting bagi umat Islam adalah tempat untuk mengerjakan solat.
Untuk pengetahuan, kalau anda berjalan-jalan di Taiwan dan melakukan hentian di tempat Rehat dan Rawat, anda akan nampak ruang solat yang telah disediakan.
Selain itu, terdapat juga hotel-hotel yang menyediakan sejadah, al-Quran dan arah kiblat seperti hotel Evergreen, Taichung dan AMBA, Taipei.
Tapi, kalau anda ingin rasai sendiri pengalaman mengerjakan solat di masjid, terdapat 10 masjid yang anda boleh lawati di setiap bandar, dan salah satunya adalah Taipei Grand Mosque.
Untuk anda yang menetap lama di Taiwan dan ingin mencari daging halal untuk dimasak, anda boleh dapatkan daging halal di pekarangan Taipei Grand Mosque tau. Baguskan?
2. Restoran Halal & Mesra Muslim
Selain tempat untuk mengerjakan solat, tempat yang menyediakan makanan halal pun antara perkara yang pastinya setiap umat Islam akan cari apabila menjelajah ke sesebuah negara.
Di Taiwan, terdapat beberapa restoran yang menyajikan makanan halal, serta mempunyai perakuan sijil halal tau.
Antaranya seperti restoran Halal Ende Yuan Dumpling House, Taichung, Halal Chinese Beef Noodles (Da’an), Taipei dan Moiz Ali, Keelung.
Selain itu, terdapat juga hotel-hotel di Taiwan yang menyajikan makanan halal serta menyediakan perkakas khas untuk umat Islam seperti hotel Evergreen, Taichung, hotel AMBA, Taipei dan hotel Taoyuan Century Hotel.
3. Produk Ramah Muslim Di Kedai Serbaneka
Satu lagi usaha negara Taiwan yang bagi kami, ia merupakan usaha yang baik adalah mereka menyediakan satu ruangan halal khas di kedai runcit.
Sebagai contoh, di Family Mart Taipei 101, mereka sudah mengasingkan satu bahagian khusus untuk makanan dan minuman halal. Jadi, lepas ni lebih mudah untuk pelancong beragama Islam mendapatkan barangan keperluan di kedai runcit.
Haa, baguskan usaha yang dilakukan oleh negara Taiwan dalam menyediakan kemudahan untuk umat Islam?
Jadi, untuk anda yang kaki travel di luar sana tu, pastikan Taiwan masuk dalam senarai negara yang anda ingin kunjungi okay?