Seorang wanita berusia 51 tahun rugi RM103,000 selepas terpedaya dengan lelaki dipercayai menyamar sebagai bomoh dan menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional menerusi Telegram.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, wanita yang merupakan ibu tunggal itu mendakwa ternampak iklan ‘bomoh’ berkenaan pada 1 September sebelum menghubunginya untuk rawatan buang sihir.
Mangsa yang berasal dari Chukai, Kemaman memaklumkan dia telah menjadi mangsa sihir dan ‘bomoh’ itu memberitahu dia bersedia untuk merawat mangsa namun perlu turuti arahannya.
Wanita terbabit mendakwa dia seolah-olah tidak sedar telah menunjuk barang kemas miliknya dan menjual empat gelang tangan emas bernilai RM71,350. Mangsa juga pergi ke Bukit Serok, Kota Bahagia, Rabu lalu dan meletak wang RM71,000 serta seutas rantai emas di tepi longkang seperti diarahkan suspek.
Tambah Sharif Shai, suspek kemudian memaklumkan mangsa akan menerima semula wang dan barang kemas itu dalam tempoh dua minggu.
Suspek juga turut mengarahkan mangsa untuk merakamkan video tidak senonoh dan menyerahkan kepadanya. Ibu kepada tiga anak itu menurut arahan itu dan telah memberikan gambar bogelnya kepada suspek.
Kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa pergi semula ke tempat dia meletak wang dan barang kemas, sebelum mendapati ia hilang.
Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran rawatan mistik oleh individu tidak dikenali melalui aplikasi media sosial.
Selain itu kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.