Pelakon dan pengacara Raja Azura, hari ini memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada bekas suami, Adzmin Osman, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Peguam syarie, Mohammad Amirul Hanizan yang mewakili pengacara itu berkata, Raja Azura selaku plaintif nekad memfailkan permohonan tersebut selepas bekas suaminya didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak 15 tahun lalu.
Hari ini kami akan memulakan prosiding terhadap bekas suami anak guam saya berkaitan enggan perintah yang dikeluarkan mahkamah pada tahun 2010 kerana tidak dilaksanakan pihak defendan.
Jadi, kami failkan hari ini supaya semua perintah itu dilaksanakan pihak bekas suami. Perintah-perintah itu kebanyakannya berkaitan tentang nafkah terhadap tiga anak mereka namun amaun tuntutan tidak boleh saya dedahkan.
Sementara itu, Raja Azura berkata dia memfailkan permohonan tuntutan nafkah tersebut adalah untuk mendapatkan hak tiga anaknya.
Ini kali pertama saya melangkah kaki masuk ke alam mahkamah. Saya failkan tuntutan ini bukan untuk bergaduh tetapi mahu dapatkan hak anak-anak saya. Mereka pun sudah cukup dewasa dan kuat untuk melihat saya melalui perkara sebegini.
Tidak pernah bertemu dan berkomunikasi dengan bekas suami sejak bercerai, dia akui apa yang dilakukannya ini adalah permintaan anak-anak yang mahukannya berjuang untuk mereka.
Dalam pada itu, Raja Azura akui enggan bertekak dengan bekas suaminya dan berharap lelaki tersebut munculkan diri agar isu ini dapat diselesaikan secara baik.
Kalau boleh saya tak mahu cari salah sesiapa tetapi hanya mahu dapatkan hak seperti yang sudah termaktub dalam lafaz taklik.
Untuk info, Raja Azura dan Adzmin bercerai pada 28 September 2010 dan menerusi perkahwinan itu mereka memiliki tiga orang anak iaitu, Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin berusia 20 tahun.