Akui kini sedang cuba untuk berhenti merokok, pelakon Nazim Othman dedah sebelum ini beliau lazimnya akan menghabiskan sekotak rokok tidak sampai dua hari.
Perkara itu dikongsi sendiri oleh Nazim kepada umum menerusi entri yang dimuat naik di laman Instagramnya baru-baru ini.
“Selalunya, sekotak rokok dalam tangan saya tak sampai dua hari dah habis, tapi Alhamdulillah ini hari kedua saya melawan kebiasaan merokok yang tak berfaedah tu.”
Menurutnya, beliau kini sedang cuba sehabis mungkin untuk berubah demi masa depan yang lebih baik.
“Saya cuma ada waktu sekarang untuk berubah demi masa depan yang lebih baik.”
Nazim bagaimanapun, turut menitip ucapan supaya para peminatnya mendoakan agar dirinya kekal istiqamah melawan tabiat tersebut.
https://www.instagram.com/p/CDbTuOlgvl7/
Malah seperti sudah dijangka, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya di laman berkenaan menzahirkan kata-kata semangat buatnya agar berjaya merealisasikan impiannya untuk bebas daripada merokok.
Terdahulu, Nazim pernah memaklumkan kepada umum bahawa dirinya menghidap ketumbuhan di bahagian otaknya sekitar Mac 2015.
Meskipun begitu, difahamkan telah selamat menjalani pembedahan tersebut dan turut berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya dan bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan Allah.