Baru sahaja dapat kerja dan menikmati kehidupan yang stabil, mulalah mata rambang untuk memiliki kereta idaman sedangkan kewangan baru nak bercambah.
Maklumlah orang muda jiwa dan selera kenalah juga muda. Baru ada class!! Namun tanpa disedari, kereta mampu beli yang mereka beli dan pandu akhirnya membawa mereka ke #nerakakewangan.
Sebab apa? Sebab mereka hanya mampu beli namun tidak mampu bela dan akhirnya menjadi tidak mampu milik.
Senarionya:
Adam bukan nama sebenar seorang graduan yang baru bekerja dan menjawat jawatan eksekutif muda di sebuah bank terkemuka dengan gaji permulaan RM2,500 sebulan.
Kerana sudah bekerja Adam merasakan wajib membeli sebuah kereta dan dengan jawatan yang disandang. Kereta tempatan? Tak mainlah kereta tempatan dan ia bukanlah menjadi pilihan Adam. Lalu Adam memilih sebuah kereta Toyota Vios supaya apabila ada majlis reunion atau balik kampung Adam tak rasa kalah.
Gaji bersih Adam: RM2,500
Ansuran kereta: RM850 sebulan
Kos total penyelenggaraan: RM1,169
Baki lebihan gaji: RM481
Anggaran duit makan: RM300
Baki dalam tangan: RM181
Dengan RM181 sahaja baki bulanan, Adam mula rasa bersalah kerana tak mampu beri mama dan papanya duit belanja. Ini pun nasib baik Adam masih tinggal di rumah ibu bapanya. Bagaimana pula jika Adam perlu bayar sewa? Kos di atas juga tanpa ditolak kos harian lain-lain (miscellaneous).
Hujung tahun ini Adam akan berkahwin. Adam rasa baki RM181 itu kalau kumpul takkan hasilkan RM20,000 sampai hujung tahun nanti.
Jadi Adam sudah berkira-kira untuk buat pinjaman peribadi dengan bank untuk urusan perkahwinan.
Satu hari seseorang telah datang dan mempromosi kad kredit kepada Adam dengan menjual idea ‘setiap orang perlu ada sekurang-kurangny satu kad kredit untuk kecemasan encik’.
Adam terfikir yang memang duit tunai dia pun tak banyak, jadi Adam setuju mohon satu kad kredit. Sayangnya tanpa bimbingan dan cetek ilmu kewangan, Adam tidak sekadar menggunakan kad kredit waktu kecemasan namun mengggunakannya ikut perasaan.
Ini belum lagi cerita tentang keperluan asas kewangan seperti perlindungan takaful dan simpanan berkala. Pelaburan untuk hari tua pula bila nak mula?
Kemampuan beli rumah? Tak tahulah celah mana Adam nak selongkar. Adam hanya pandu dan pandu selesa Viosnya sehingga satu saat Adam mula terasa bahangnya. Ya, bahang api #nerakakewangan
Nota kaki:
Kos total penyelenggaraan di atas adalah termasuk semua kos penggunaan kereta yang dikira berdasarkan jumlah tahunan dan dibahagikan kepada nilai bulanan. Ini adalah kos tersembunyi yang jarang sekali kita sedari dan buat persediaan ketika kita membuat perancangan dan pemilihan membeli sesebuah kenderaan. Huraian sila rujuk gambar.