Peguam Mohamad Zahid memaklumkan anak guamnya, PU Azman atau nama lengkapnya Azman Syah Alias yang kini di Penjara Kajang berada dalam keadaan sihat.
Menurut laporan Sinar Harian, Mohamad Zahid turut memaklumkan anak guamnya sudah menghafal satu juzuk Al-Quran sepanjang berada dalam tahanan.
PU Azman pesan supaya doakan dia. Alhamdulillah dia (PU Azman) okay di Penjara Kajang dan hikmah di sebaliknya dia maklumkan sudah hafal satu juzuk di sana.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak satu daripada dua representasi yang dikemukakan oleh penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman.
Rasyidah Murni berkata, representasi melibatkan mangsa lelaki berusia 17 tahun ditolak AGC dan akan diteruskan untuk perbicaraan dengan pertuduhan asal, manakala representasi bagi mangsa lelaki berusia 16 tahun 10 bulan diterima.
Walau bagaimanapun, Mohamad Zahid dan Fahmi Adilah tidak dapat mendedahkan dengan terperinci mengenai keputusan representasi tersebut kerana tidak mahu mendahului mahkamah selain mahu merujuk kepada anak guam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan bagi status kes tertuduh di Penjara Kajang.
Sekadar info tambahan, pada 27 September lalu, PU Azman dimasukkan ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman 24 tahun penjara dan dua sebatan.
Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman itu terhadap PU Azman atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu.