Pelakon, Kamal Adli menepis dakwaan dia dan isterinya, Uqasha Senrose hadir ke mahkamah syariah untuk memfailkan penceraian baru-baru ini.
Memetik laporan Astro Gempak, Kamal berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan dia berharap agar orang ramai mendoakan yang terbaik untuk dirinya serta isterinya.
Saya pun tak tahu di mana mahkamah syariah tu. Doakan yang baik-baik saja. Mustahil untuk saya sampai ke tahap tu.
Pelakon itu turut menegaskan bahawa dia akan mempertimbangkan setiap tindakan yang akan dibuat dengan matang lebih-lebih lagi dalam urusan rumah tangga.
Baginya, sebagai seorang lelaki, dia bertanggungjawab untuk berdepan dengan apa jua situasi dan tidak akan membiarkan wanita menangani masalah itu sendirian.
Walau bagaimanapun, dia yakin situasi yang tidak diingini tidak akan berlaku kerana dia sayang akan anak, isteri dan keluarganya.
Dalam pada itu, dia turut mengakui dia sedikit terganggu apabila orang ramai bertanya tentang keadaan rumah tangganya.
Terganggu juga sebenarnya sebab ramai orang tanya, sampai mak saya dan keluarga Uqasha pun tanya sama ada kami ada masalah atau tidak.
Jawapan kami tetap sama. Kami tak ada masalah cuma sibuk dengan kerja dan sekarang ni kami mahu tumpukan perhatian pada Hawra.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan rumah tangga pasangan pelakon ini mengalami masalah namun perkara ini telah dinafikan oleh kedua-dua belah pihak.