Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) telah memfailkan saman terhadap syarikat penganjur acara, Hitman Solutions Live Sdn. Bhd., atas dakwaan melanggar akta hak cipta beberapa karya muzik dalam penganjuran konsert-konsert terdahulu.
Menurut kenyataan MACP hari ini, saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kes itu dijadualkan untuk didengar pada bulan April tahun depan.
Antara konsert yang terlibat dalam saman tersebut termasuklah Bunkface 15 Years of Korang, Raisa Live in Malaysia, Ne-Yo Live in Malaysia (2023), Blue Heart & Soul Tour 2023, serta Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.
Selain itu, MACP mendakwa Hitman Solutions juga gagal memohon lesen yang diperlukan untuk menganjurkan 13 konsert lain sepanjang tahun lalu.
Dalam kenyataan yang sama, MACP menegaskan komitmennya untuk terus membela dan memperjuangkan keadilan bagi pihak pengkarya muzik tempatan.
MACP diberi mandat untuk mewakili pemegang hak komposer, penulis dan penerbit muzik di Malaysia.
Menurut MACP, tindakan undang-undang yang diambil adalah penting untuk menegakkan dan melindungi hak pengkarya tempatan serta antarabangsa.
MACP juga bertekad untuk melindungi hak ahli-ahlinya dan memastikan pengkarya tempatan menerima pampasan yang adil untuk hasil kerja mereka.
Antara 13 konsert yang didakwa tidak memohon lesen daripada MACP adalah Jubin Nautiyal Live in Malaysia, Sanam Live in Malaysia, Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Pulau Pinang), Rizky Febian: Berona Day, Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Sabah), UNDRGROUND – Butterfingers, Hujan & Bunkface, Sum 41: Tour of the Setting Sun (The Final Tour), Incubus Live in Malaysia, DOLLA Re:Birth The Experience, dan Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia.
Tidak ketinggalan, konsert Bring Me The Horizon Live Featuring BABYMETAL, NE-YO: Live in Malaysia (2024), dan Arijit Singh Live in Malaysia turut tersenarai dalam dakwaan tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.