Baru-baru ini, seorang pemuda lelaki berkongsikan kisah hidupnya tinggal di ibu kota, Kuala Lumpur dengan hanya bergaji sebanyak RM2500.
Sukar hidup di KL dengan gaji RM2500
Menurut lelaki terbabit, dia mengalami kesukaran untuk hidup di KL dengan mempunyai gaji bawah RM3000 kerana gaji yang dimiliki dianggap terlalu rendah.
Bertahan hidup di KL terasa seperti bermain Squid Game.
Dalam hantaran yang dikongsikan, lelaki terbabit menyenaraikan kos-kos penting yang sudah mengambil lebih daripada separuh gaji yang dimiliki iaitu sewa bilik berharga RM600, makan di luar dua kali sehari bernilai RM600 (RM10 setiap hidangan), perjalanan ke tempat kerja, RM200 dan telefon serta Internet berharga, RM100.
Difahamkan, selepas dia membayar segala keperluan asas ini, dia hampir tidak mempunyai sebarang wang dan itu tidak termasuk perkara kecemasan seperti mengirim wang ke kampung atau membesarkan anak-anak.
Tak mudah untuk cari kerja baru
Biarpun sedar dengan kenyataan ‘cari kerja yang lebih baik’, tetapi lelaki berkenaan mendakwa ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk direalisasikan.
Katanya, biarpun memiliki ijazah universiti, ramai graduan di Malaysia yang tidak dapat pekerjaan yang bersesuain dengan kelayakan mereka.
Netizen cadang buat kerja sampingan
Ini bukan soal malas. Ini soal sistem. Harga barang terus meningkat, tetapi gaji tetap sama.
Susulan hantaran tersebut telah meraih perhatian, ramai mencadangkan agar lelaki berkenaan melakukan kerja sampingan bagi menampung kehidupan harian di bandar yang kini semakin hari semakin mahal.