“Macam Novel, Kan? Tetapi Kalau Novel Pengakhirannya Bahagia, Aku Sebaliknya”

Trending

“Macam Novel, Kan? Tetapi Kalau Novel Pengakhirannya Bahagia, Aku Sebaliknya”

Perkongsian ini bukan untuk nak mengaibkan siapa-siapa tapi cuma untuk perkongsian sahaja. Kisah ini berlaku setahun yang lepas.

missjAku pernah berkahwin dengan seorang lelaki atas aturan keluarga. Serius, aku langsung tak kenal lelaki itu. Kami ditemukan dan lepas itu lelaki itu cakap dia bersetuju untuk berkahwin. Kami bertunang lebih kurang lima bulan.

Advertisement


Aku terima lelaki itu disebabkan keluarga. Selama tempoh bertunang pun kami jarang berhubung dan hanya akan berhubung untuk tujuan yang penting sahaja. Aku hanya mampu bersangka baik sajalah, mungkin dia mahu jaga ikhtilat.

Kami pun disatukan. Sabtu kenduri sebelah perempuan, dan Ahad sebelah pihak lelaki. Masa di rumah dia hari kenduri itu, dia biarkan aku seorang dan dia dengan kawan-kawan dia. Nasib baiklah ada anak buah dia untuk aku berbual.

Malam itu pun dia berbual dengan keluarga dia sampai tengah malam baru masuk bilik. Aku masa itu memang masuk bilik awallah, penat.

Terjaga pagi itu aku tengok dia tidur di hujung katil dan tidur membelakangkan aku. Pelik dah aku masa itu. Masa dekat rumah dia pun, boleh dia tinggalkan aku seorang diri dan dia hilang entah kemana langsung tak beritahu. Nasiblah keluarga dia okay. So tak adalah rasa lain macam sangat.

Lima hari selepas majlis kami, dia cakap dia kena balik ke ibu kota sebab dia ada kerja yang kena diuruskan. Dia tak beri aku ikut dia sebab dia cakap nanti dia akan balik lambat, sebab dia baru tukar tempat kerja. Nanti risau pulak aku seorang diri di rumah. aku dan keluarga okaylah, dah dia cakap macam itu, maksudnya dia bimbangkan keselamatan aku.

Lepas kahwin pun kami jarang berhubung, pernah satu hari aku nak keluar, dan telefon dia untuk mintak izin. Banyak kali aku telefon, tapi dia langsung tak angkat. Buka Whatsapp tengok-tengok masa itu dia tengah dalam talian. Angin jugalah aku. Akhir sekali aku Whatsapp saja minta izin dan dia balas okay.

Sebulan lebih jugalah lepas kenduri dia baru balik, dan dia balik untuk ambil aku tinggal dengan dia. Sebelum dia balik ambil aku itu dia adalah minta maaf sebab lama tinggalkan aku. dia harap dapat memulakan hidup baru dengan aku, aku pun seronok jangan cakaplah. Mungkin dia dah sedar kesilapan dan tanggungjawab dia sebagai seorang suami.

Dia pun datang ambil, dan bawa aku ke rumah sewa dia. Bermulalah kisah sedih dalam hidup aku.

Sampai rumah dia, dia tunjukkan bilik aku. Aku ingatkan kami akan kongsi satu bilik tetapi sebaliknya. Dia tidur di luar dekat ruang tamu.

Bab makan dia cakap masak untuk aku saja, untuk dia tak perlu sebab dia akan makan dekat kilang. manakala bab pakaian pula, dia langsung tak bagi aku uruskan. dia cakap dia buat sendiri yang itu sebab dia takut nanti pakaian dia rosak.

Kenapa dia ingat aku nak koyak-koyakkan baju diakah apa?

Aku cuba jugak duduk dekat-dekat dengan dia, tapi apa respon yang aku dapat? Dia lari daripada aku. Makin aku dekat, makin dia menjauh.

Kalau hujung minggu pun dia bangun tidur lambat, kemudian keluar jumpa kawan-kawan dia. Tinggallah aku berhaha seorang diri di rumah.

Kalau dia nak ajak aku keluar pun dia akan mesej, bukannya nak cakap depan-depan, padahal satu rumah masa itu. Kalau dalam kereta, kalau aku tak mulakan perbualan, tak adanya dia nak cakap. Cakap pun nak tak nak saja. Sabar lagi masa itu.

Tak lama lepas itu, dia mendapat tawaran kerja yang lagi baik di sebuah syarikat yang terkemuka di Pantai Timur. Dia suruh aku kemaskan barang-barang aku, aku pun kemaslah. Tetapi tak habis kemas sebab dia cakap nak pergi hantar barang dulu dekat rumah baru itu.

Selepas itu dia suruh aku kemaskan semua barang-barang aku sebab aku akan tinggal di sana nanti. Dalam hati takkanlah nak tinggalkan aku seorang? Sebab setahu aku dia masih ada seminggu lagi baki di kilang lama.

Hujung minggu itu pergilah aku bersama-sama barang ke rumah baru itu. Di rumah baru itu pun keadaan kami sama macam dirumah lama. Dia bilik lain, aku bilik lain.

Aku ada cakap nak ikut dia balik ke ibu kota, macam-macamlah aku cipta alasan. Takut tinggal seorang dirilah, macam-macam lagilah. Iyalah masa itu mana kenal sesiapa pun di sana.

Tapi dia tetap juga berkeras suruh aku tinggal di sana. Tinggallah aku seorang diri di sana, selepas itu aku terpaksa cerita pada sepupu aku yang dia suruh aku tinggal sendiri di sana.

Kata sepupu aku, itu dah tahap teruk dah sebab membabitkan keselamatan aku.

Dia cakap aku perlu beritahu keluaga aku tentang itu, tapi aku tiada kekuatan untuk menceritakannya.

Dan akhirnya sepupu aku yang ceritakan dekat keluarga aku selepas mendapat keizinan dari aku. Ikutkan keluarga aku, hari itu jugak mereka nak datang ambil aku, tapi mereka takut nanti suami aku boleh ambil tindakan undang-undang sebab larikan aku tanpa izin dia.

Selepas itu aku minta izin dari dia untuk pulang ke kampung, dan dia izinkan. Aku ceritakan semuanya: apa yang telah berlaku dan semuanya terkejut dan tak sangka aku kuat menanggung semuanya seorang diri. Padahal aku tak sekuat mana pun.

Hanya air mata yang menjadi teman setia aku setiap hari. Aku pergi ceritakan pada keluarga mertua aku dan sudah tentulah keluarga dia menangkan anak dia, kan?

Sepanjang aku dekat kampung dia langsung tak hubungi aku untuk tanya khabar berita. Sampailah aku mesej dia tanya:

“Kita ini macam mana?”

Dan dia cakap jangan risau antara kita dah tak ada pertalian suami isteri.

Allahu. Masa itu hanya Allah saja yang tahu apa perasaan aku. Masa nak, datang secara elok. Bila dah tak nak dia buat aku macam tak ada harga diri.

Aku bawa mesej dia ke pejabat agama dan Ustaz di sana cakap kalau ikutkan mesej dia itu dah jatuh talak dah dekat aku. Cuma tak tahu sama ada dia berniat nak lepaskan aku atau tidak masa itu.

Mahkamah tetapkan tarikh perbicaraan untuk pengesahan lafaz cerai. Keluarga dia jangan cakaplah, batang hidung pun tak nampak, manalah tahu nak datang berbincang atau apa.

Sampailah tarikh perbicaraan yang ditetapkan, aku datang dengan keluarga aku dan saudara-saudara yang lain. Dia datang seorang diri saja. Entah-entah mak ayah dia pun tak tahu yang kami nak bercerai masa itu.

Bila Hakim tanya mengenai pengesahan lafaz itu, dia cakap dia memang berniat pada masa itu dan dia nak lakukannya secara formal di depan Hakim.

Masa dia lafazkan lafaz cerai itu, aku langsung tak rasa apa-apa. Tenang saja masa itu. Aku tak boleh nak tuntut apa-apa dari dia sebab dia tak pernah sentuh aku. Masa jadi isteri dia pun nafkah zahir dia langsung tak pernah beri, padahal dia mampu dengan gajinya sebulan RM 8,000 tetapi pada aku langsung dia tak beri. Nafkah batin jangan cakaplah, kalau dah tidur pun asing-asing, kan? Aku kahwin dengan dia hampir empat bulan, tinggal serumah dengan dia tiga minggu, selepas itu kami berpisah.

Oh ya. masa aku berkahwin, aku baru habis belajar, jadi tak kerja lagi.

betullah setiap apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Tak lama lepas aku berpisah, aku mendapat tawaran bekerja nun jauh di Borneo. Mungkin ALLAH tahu apa yang terbaik untuk aku, sebab itu Dia letak aku jauh daripada orang yang mengenali diri aku.

Dan Alhamdulillah aku bahagia dengan kehidupan sekarang dan semua menerima kehadiran aku.

Serius, kini aku agak berhati-hati untuk menerima cinta daripada lelaki. Mungkin trauma masih ada dalam diri aku. Macam novel kan? Tetapi kalau novel pengakhirannya bahagia, tetapi aku sebaliknya.

Namun inilah realiti yang terpaksa aku hadapi. Doakan aku kuat dan semoga ALLAH hadirkan seseorang yang boleh menerima kekurangan diri ini. Bukan mudah untuk memegang status “MISS J” diusia yang muda.

– rahsiakan identiti

SUMBER: IIUMC

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...