Rita Gaviola merupakan salah seorang selebriti yang terkenal di Filipina. Siapa sangka gadis cantik ini memiliki kisah hidup yang sama seperti kisah dongeng ajaib ‘Cinderella’ di mana seorang gadis yang menjalani hidup susah, berjaya mengubah masa depannya dengan sekelip mata.
Sebelum ini bapanya hanya bekerja sebagai pengutip sampah dan ibunya pula menjadi suri rumah sepenuh masa membesarkan empat lagi adik-beradiknya. Oleh kerana menghadapi kemiskinan hidup pada masa itu, gadis yang berusia 13 tahun ini telah bertindak membantu keluarganya dengan menjadi seorang pengemis di Bandar Lucban, Filipina.
Difahamkan, kehidupannya berubah setelah kemunculannya di bandar tersebut berjaya menarik perhatian seorang jurugambar Filipina, yang dikenali sebagai Topher Quinto Burgos pada Mei 2016 yang dikatakan kebetulan menghadiri sebuah Festival di Luchan. Jurugambar itu dikatakan sangat tertarik dengan keayuan semulajadi yang dimilikinya, lalu bertindak mengambil beberapa keping gambarnya dan dimuat naik ke media sosial.
Rupa paras seperti ‘Tuan Puteri’
Gambar yang dimuat naik berjaya meraih pujian orang ramai tentang kecantikan yang dimilikinya. Tidak ketinggalan, selebriti terkenal seperti Miss World Philippines 2015 Hillarie Danielle Parungao, Miss International Philippines 2014 Bianca Guidotti, dan Miss Earth 2015 Angelia Ong juga turut serta memberi pujian kepadanya di media sosial.
Ramai yang berpendapat bahawa Rita langsung tidak kelihatan seperti pengemis, malah wajahnya kelihatan seperti seorang model cantik yang sedang melakukan aksi pengambaran di tengah bandar tersebut.
Sejak itu, Rita Gaviola telah dijemput ke beberapa media hiburan sebagai tetamu undangan serta beraksi di siaran televisyen di dalam dan luar negara. Rita sekaligus menjadi salah seorang insan termuda dalam program realiti antarabangsa, Big Brother.
Rita turut berjaya menjadi model fesyen beberapa jenama yang terkenal
Difahamkan, kisah kehidupan yang luar biasa ini telah membantunya membina kelab peminatnya yang tersendiri, termasuklah peminat dari luar negara dan ada diantara mereka telah membantu Rita dan keluarganya dari segi kewangan.
Pada tahun 2018, gadis ini telah memuat naik satu video di YouTube yang menunjukkan suasana rumah keluarganya yang baharu. Rita Gaviola juga mengucapkan terima kasih kepada Grace Kreutzer, seorang peminat dari Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan telah menaja kos pembinaan rumah tersebut.