Walaupun kerajaan sekarang melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada yang bersyarat sahaja, tetapi rakyat Malaysia seharusnya masih lagi berhati-hati apabila hendak keluar daripada rumah.
Bahkan warga emas dan kanak-kanak juga dinasihatkan supaya terus tinggal di rumah kerana senang terdedah dengan bahaya wabak COVID-19 ini. Walaubagaimanapun, tindakan Lufya membawa anak perempuannya iaitu Laana Haura keluar ke pusat membeli-belah telah menerima kecaman netizen.
Menurut kapsyen yang ditulis dalam entri tersebut, pelakon wanita itu terpaksa keluar membawa anaknya sekali untuk membeli barang keperluan dan baju raya. Bukan tidak mahu mematuhi peraturan tetapi memang tiada siapa yang boleh menjaga Laana pada ketika itu.
Pun begitu, terdapat seorang individu yang telah mempersoalkan tindakannya yang dianggap sebagi tidak sensitif terhadap situasi genting sekarang ini.
“Kenapalah di bawa anak tu keluar, perdana menteri dah bagi kelonggaran keluar bukan untuk merisikokan anak… kalau sebelum ni boleh beli keperluan tanpa bawa anak, kenapa sekarang tak boleh?”
Individu itu juga mengatakan bahawa tidak perlu membawa keluar anak itu sekiranya hanya mahu membeli pakaian, ukur sahaja badannya terlebih dahulu. Malah, dia juga meluahkan rasa risau sekiranya perkara yang tidak diingini mungkin akan berlaku.
Tidak melatah, Lufya membalas komen tersebut dan menjelaskan keadaan yang memaksa dia bertindak membawa juga Laana keluar.
“Puting, botol semua dah pecah, pampers pun habis… tak ada siapa nak jaga dekat rumah! Aduhai mak akan buat apa yang termampu.”
Lufya turut menegaskan bahawa anak perempuannya itu telah dilengkapi dengan pelbagai item perlindungan seperti topi dan juga topeng muka.
Mengakhiri perdebatan itu, Lufya berterima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatannya.