Dulu, kita membesar dengan siri animasi ikonik seperti Detective Conan, Doraemon, dan Shin Chan yang pastinya meninggalkan kenangan manis. Namun, siapa sangka suatu hari nanti animasi Malaysia, atau AniMY, berjaya menembusi pasaran Jepun, negara yang terkenal sebagai pengeluar animasi global, dan menarik perhatian generasi mereka?
Animasi yang dimaksudkan adalah siri Mechamato hasil produksi Animonsta Studios yang berpusat di Cyberjaya. Tidak hanya memenangi pelbagai anugerah di Jepun, tetapi kini siri ini turut mendapat sambutan hangat daripada generasi Gen Alpha di negara matahari terbit itu.
Pengasas Animonsta Studios, Nizam Abd Razak, meluahkan keterujaannya apabila melihat sambutan yang luar biasa semasa fan meet di Osaka, Jepun, yang diadakan bersempena Expo 2025 baru-baru ini.
Menurutnya, peminat di Jepun, terutamanya kanak-kanak, sanggup beratur panjang untuk bergambar dengan karakter Mechamato, yang juga menjadi duta untuk Pavilion Malaysia di Expo tersebut.
Siap ada yang print poster sendiri dan anak-anak kecil asyik sebut ‘Mechanize!’.
Beliau mengaku terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap animasinya di Jepun, sebuah negara yang sinonim dengan animasi global yang hebat.
Menyusul sokongan yang begitu memberangsangkan, Nizam semakin bersemangat untuk menghasilkan Mechamato Season 4 dan menambah bahawa Gen Alpha yang membesar dengan siri ini juga berpeluang menonton Movie 2, yang dijangka akan ditayangkan pada tahun 2026.
Antara sebab mengapa Mechamato diterima baik di Jepun adalah kerana ia telah dialih bahasa ke dalam Bahasa Jepun, menjadikannya lebih mudah diterima oleh masyarakat pelbagai lapisan di sana.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.