Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin bukan sahaja berjaya sumbang emas kedua kepada negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 malah turut memecah rekod dunia!
Bonnie yang beraksi dalam kategori 72 kilogram (kg) lelaki semalam telah memecah rekod dunia yang sebelum ini juga miliknya, selepas berjaya melakukan angkatan 232kg pada cubaan ketiga.
Dalam acara yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Paris semalam, atlet berasal dari Sarawak itu melakukan angkatan 221kg pada cubaan pertama, 226kg pada cubaan yang kedua sebelum menyempurnakan cubaan ketiga dengan angkatan 232kg.
Rekod dunia dipegang oleh Bonnie sebelum ini adalah 231kg dan ia jelas jauh dengan pencabarnya yang lain pada acara semalam sekaligus membuatkannya berjaya mempertahankan emas miliknya (di Paralimpi Tokyo) sebelum ini.
Pingat perak dirangkul oleh atlet dari China, Hu Peng dengan angkatan 214kg manakala Donato Telesca dari Itali mendapat pingat gangsa dengan angkatan 213kg.
Kejayaan Bonnie itu merupakan pingat emas kedua buat kontinjen negara selepas jaguh badminton para, Cheah Liek Hou menyumbang emas pertama dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Isnin lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.