March 4th, 2011

leman raja lawak

***Ini adalah email yang diterima daripada seorang pembaca

Dalam Utusan Malaysia hari ini ada artikel tentang Leman Raja Lawak yang mengaku dia masuk Raja Lawak 5 semata-mata untuk popular dan sebagai strategi dia nak jadi wakil rakyat.

Saya nak cakap dalam banyak-banyak lawak yang Leman buat, saya rasa ayat dia “masuk Rajak Lawak 5 sebab nak jadi Yang Berhormat” adalah yang paling lawak. Tahniah Leman kerana akhirnya anda berjaya buat saya gelak selepas berminggu-minggu saya cuba nak gelak tonton persembahan anda dalam Gelanggang Raja Lawak 5.

Ayat saya nampak kasar tapi hakikatnya memang saya agak tak puas hati sikit dengan Leman sebenarnya. Status Facebook saya minggu lepas ada saya tulis yang saya rasakan Leman perlu minta maaf kepada para pengundinya selepas dia begitu gembira bila diumumkan keluar hingga menjerit yes! Dia lupa agaknya yang para pengundinya hantar undian, hantar sms menggunakan wang mereka. Sepatutnya jika memang dia mahu keluar dia sepatutnya tarik diri atau beritahu awal-awal kepada penonton agar tidak mengundinya kerana dia memang hendak keluar.

Tak reda dengan laungan yes!, kali ni lagi menyirap pula rasa bila dia katakan penyertaannya dalam Raja Lawak hanya strategi untuk bertanding menjadi wakil rakyat. Saya bukanlah pengundi Leman malahan saya tak pernah pun hantar sms mengundi mana-mana peserta RL5, bukan takat RL5, semua program realitilah saya memang tak suka hantar undian sms, saya lagi suka jadi penonton sahaja. Tujuan saya marah-marah adalah kerana saya tak suka perihal Leman yang memperbodohkan orang lain terutama pengundinya.

Saya tak tahu kelayakkannya untuk bertanding sebagai wakil rakyat malah saya pun baru tahu pekerjaannya sebelum ini adalah sebagai seorang peguam. Tapi yang saya tahu jika saya merupakan pengundi di Kuala Nerang, saya tidak akan undi Leman sekiranya dia bertanding.

Ini antara hujah saya, jika benar dia nak popular sebab nak jadi YB, dia tak seharusnya gunakan medium hiburan. Dia sepatutnya fikir untuk popular di dalam komuniti penduduk di kawasannya melalui khidmat-khidmat kemasyarakatan yang dilakukan. Apa jasanya kepada kawasan komuniti dengan hanya sertai Raja Lawak? Buat nama Kuala Nerang popular? Itu sahaja! Tapi semua penonton tahu ke dia berasal dari Kuala Nerang? Semua orang ada ASTRO dan internet ke untuk tonton Raja Lawak? Bagi saya, orang yang betul-betul minat politik takkan mengundi seseorang calon melalui kepopularan yang dia ada semata-mata sebaliknya lebih melihat kepada kemampuan memimpin dan jasa yang pernah ditaburkan.

Satu lagi hujah saya, jika pengundinya dalam Raja Lawak pun dia tak hargai, agaknya apa dia buat bila dah jadi YB? Mesti dia terus hanyut dengan panggilan YB dan melupakan pengundinya. Pengundi Raja Lawak semua keluarkan duit pun dia tak hargai inikan pula pengundi yang hanya pangkah di atas kertas undi.

Kenyataan Leman bahawa dia masuk Raja Lawak hanya nak popular untuk jadi YB sebenarnya adalah satu penghinaan kepada ASTRO dan juga penerbit Raja Lawak. Ini bermakna mereka telah salah pilih peserta dan menafikan hak mereka di luar yang mahu sertai Raja Lawak sebab mahu berlawak dan jadi pelawak! Jadi ASTRO boleh sahaja untuk boikot Leman lepas ni.

Kepada Leman, dia dah lakukan banyak kesilapan. Saya rasa dia tak sepatutnya keluarkan kenyataan nak jadi YB sebagai alasan sertai Raja Lawak. Dia sepatutnya simpan sahaja alasan itu sebagai rahsia peribadinya dan anggap itu sebagai strategi dalam mencapai impian menjadi YB! Kalau saya di tempat Leman, memang popular tu sedikit sebanyak boleh dianggap bonus untuk sertai politik tetapi dia sepatutnya gunakan bonus yang telah diperoleh sebaiknya.

Dia tidak seharusnya gelojoh dengan terus mensasarkan untuk bertanding PRU-13 dan menggunakan bonus popular yang ada sebagai senjata meraih undi. Kegelojohan dan kejujurannya mengaku masuk RL sebab nak jadi YB hanya akan menimbulkan rasa kurang senang ramai orang malah akan jadi bahan jenaka parti lawan nanti.

Leman oh Leman, saya dah tak tahu nak cakap apa lagi. Banyak sangat dah kesilapan yang anda lakukan yang sekelip mata boleh membunuh kepopularan yang anda sedang kecapi. Niat anda nak jadi YB nak tolong rakyat tu baik tapi cara anda itu tak kena. Sekian, terima kasih.


Comments are closed.

Loading...