Walaupun masih dalam proses pemulihan selepas diserang strok, seorang lelaki bergelar bapa dan suami tetap memaksa diri untuk melakukan perjalanan sejauh kira-kira 700km setiap minggu semata-mata untuk berjumpa keluarga dan anak-anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Namun, berita semalam mengenai pengurangan subsidi minyak daripada 300 liter kepada 200 liter benar-benar membuatkan dirinya berasa gelisah.

Bapa kepada dua orang anak itu, yang enggan dikenali, berkata dia membelanjakan sekitar RM750 hingga RM800 setiap bulan untuk berulang-alik setiap minggu dari Putrajaya ke Johor Bahru.
Menurutnya, dia menggunakan hampir 250 liter petrol setiap bulan.
“Rutin ini sudah berjalan lebih setahun,” katanya, yang merupakan seorang penjawat awam dan pernah diserang strok beberapa tahun lalu.
Lelaki yang mempunyai dua anak autistik itu kelihatan sangat terkesan apabila berita pengurangan subsidi diumumkan.
“Kecewa,” katanya ringkas ketika ditanya perasaannya mengenai perkara tersebut.
Tambahnya, dia sudah membuat permohonan pertukaran tempat kerja sebanyak empat kali, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada majikan.
“Isteri saya seorang suri rumah kerana perlu menjaga kedua-dua anak kami.”
“Untuk bawa mereka tinggal di Putrajaya, tempat saya bekerja, memang tidak berbaloi dari segi kos,” katanya.
Turut merasai kesan adalah Azlan Mohd Sharif, 45, yang berulang-alik setiap minggu dari Puchong ke Sri Gading, Batu Pahat, Johor.
Menurutnya, dia membelanjakan kira-kira RM500 sebulan hanya untuk minyak.
Pekerja sektor swasta itu berkata, walaupun langkah kerajaan itu boleh difahami, dia berharap agar bantuan yang lebih sesuai dapat diberikan, khususnya kepada mereka yang tiada pilihan selain perlu bergerak jauh untuk bekerja.
Sumber : Encik Azlan / Says.com “Kalau diberi pilihan, kami pun nak kerja dekat dengan rumah, tapi situasi kami berbeza.”
“Dalam kes saya, saya bekerja di Puchong tetapi keluarga berada di Sri Gading, jadi saya terpaksa berulang-alik untuk menjaga ibu saya yang sakit ketika itu, ayah saya dan juga keluarga sendiri,” katanya sambil menambah rutin itu sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya lagi, pengurangan subsidi itu juga tidak mengambil kira mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja akibat kos perumahan yang tinggi di kawasan bandar.
“Dari Puchong ke Kuala Lumpur sahaja sudah sekitar 37km untuk satu perjalanan. Kadang-kadang saya perlu pergi lebih jauh untuk kerja.”
“Saya biasanya isi minyak sekitar RM40 setiap kali, yang boleh bertahan dua hingga tiga hari. Dengan 200 liter petrol, itu hanya cukup untuk kira-kira 10 kali isi minyak.”
“Sedangkan kebiasaannya saya isi minyak sekitar 15 hingga 20 kali sebulan,” katanya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
