“Litar Pintas Punca ‘Percikan Api’ Di Hospital Sultanah Aminah, Tiada Unsur Sabotaj” – Polis

Trending

“Litar Pintas Punca ‘Percikan Api’ Di Hospital Sultanah Aminah, Tiada Unsur Sabotaj” – Polis

Kekecohan yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berpunca daripada litar pintas kecil akibat wayar terdedah terkena air dalam kerja pembersihan di tingkat 1, menurut siasatan polis.

Advertisement

Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan, susulan kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA di tingkat 2 semalam yang mengorbankan 6 nyawa dan mencederakan 4 yang lain.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, susulan itu, tingkat 1 bangunan induk hospital berkenaan ditutup 24 jam bagi tujuan kawalan dan pemantauan, lapor FMT.

“Kejadian yang berlaku tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj, keganasan dan jenayah,” katanya.

Kira-kira 1.45 tengah hari tadi, HSA gempar apabila pesakit dan kakitangan hospital diarahkan keluar dari bangunan induk dan dikumpulkan di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan, selepas penggera kecemasan dikatakan berbunyi.

Sulaiman berkata, tingkat 1 bangunan induk itu antara lain menempatkan Dewan Bedah yang sedang diubahsuai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Othman Abdullah dalam kenyataan mengesahkan berlaku “percikan api” di tingkat 1, kawasan di bawah ICU yang terbakar semalam.

“Hal ini terjadi hasil daripada air yang mengalir semasa proses pembersihan kawasan tersebut yang mengenai plug elektrik,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasinya, Mohd Rizal Buang ketika ditemui di HSA berkata, sebuah jentera dengan 7 anggota akan ditempatkan di hospital itu sehingga kerja penyiasatan dan pembersihan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau maklum mengenai kekecohan yang berlaku dan menasihati orang ramai, termasuk kakitangan hospital tidak panik.

“Sebenarnya, apabila berlaku kebakaran, bomba akan sembur air dan sebagainya. Maka, hari ini apabila ia hendak dioperasikan (semula) sepenuhnya, kemungkinan ada soket-soket ataupun pendawaian basah.

“Apabila basah dan ada elektrik, itu menyebabkan ada tindak balas lalu mewujudkan satu percikan api,” katanya kepada Bernama.

Ayub berkata, proses mencuba semula sistem pendawaian di bangunan itu sedang dijalankan bagi memastikan ia boleh kembali berfungsi dengan baik atau sebaliknya.

“Saya turut dimaklumkan Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan dan HSA sentiasa memantau keadaan,” katanya.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...