Litar Pintas Bukan Punca Kebakaran, Tong Gas Kuning Di Luar Bilik Asrama Jadi Misteri

Trending

Litar Pintas Bukan Punca Kebakaran, Tong Gas Kuning Di Luar Bilik Asrama Jadi Misteri

Wujud elemen mencurigakan dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung di sini, pagi tadi apabila ada mangsa yang terselamat melihat tong gas kuning di luar bilik asrama.

Advertisement

Seorang tenaga pengajar yang juga warden pusat tahfiz berkenaan, Mohd Arif Mawardi, berkata sebelum tidur jam 11 malam, tiada tong gas di luar pintu bilik asrama di tingkat 3, berhampiran tangga semasa dia melakukan pemeriksaan ke bilik asrama pelajar.

“Ketika kebakaran berlaku saya tidur di tingkat 2, bersama tiga lagi kakitangan dan terdengar bunyi kuat seakan ribut dipercayai kesan dari tong gas yang terbakar.”

“Bagaimanapun saya pelik apabila naik untuk cuba menyelamatkan pelajar dan guru saya dapati ada dua tong gas warna kuning di tangga berhampiran pintu bilik asrama,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.”

Mohd Arif berkata, dia sendiri pelik bagaimana dua tong gas berwarna kuning itu boleh berada di luar pintu asrama sedangkan empat tong gas pusat tahfiz berkenaan berwarna hijau dan diletakkan di dapur di tingkat bawah.

“Bukan nak kaitkan dengan punca kebakaran yang berlaku tapi berkemungkinan tidak seteruk ini sekiranya tong gas berkenaan tiada di situ,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata siasatan pihaknya mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas.

Beliau berkata hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu adalah di dalam keadaan baik.

“Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan ‘tendang’ dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.”

“Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak,” katanya.

Khirudin berkata, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

“Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar. Saksi beritahu mereka berusaha nak keluar tetapi api dah marak di luar pintu, sebab itu mereka terperangkap,” katanya.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi tadi.

Sumber : Berita Harian

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...