Boleh dikatakan pemergian Allahyarham Zara Qairina, 13, yang disyaki meninggal dunia akibat dibuli telah pun membuatkan satu Malaysia berasa sedih dan bersolidariti agar arwah mendapatkan keadilan.
Mahu ‘buka mata’ rakyat isu buli
Melalui laporan Berita Harian, seorang pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu Norsalim Ali berkata dirinya menghasilkan lagu berkaitan arwah Zara merupakan tanda solidariti.
Bukan itu saja, malah Norsalim turut mahu membuka mata rakyat Malaysia mengenai bahana gejala buli.
Isu ini meruntun hati saya sebagai seorang bapa dan datuk. Kemudian saya cuba buat lagu ini secara suka-suka, sampailah terhasilnya lagu ini.
Nyanyian guna AI, lirik 100 peratus sendiri
Mengenai perkembangan lagu berjudul Justice For Zara, bapa kepada enam anak dan 10 cucu itu berkata dia menggunakan janaan AI dalam beberapa aspek tetapi keseluruhan lirik merupakan ideanya sendiri berdasarkan hasil laporan yang diteliti melalui kes arwah Zara.
Tetapi, ada banyak kali percubaan sebab pada awal saya buat tak jadi dan muzik yang terhasil tak berapa sedap. Kemudian, saya terus mencuba sampailah dapat hasil sebegini.
Sekadar info, lagu Justice For Zara ciptaan Norsalim yang dilancarkan seminggu lalu telah pun tular di platform media sosial, di mana ia digunakan kebanyakan pengguna sebagai tanda solidariti terhadap kes ini.
Difahamkan, lagu tersebut memberi makna yang mendalam seperti pengorbanan, kemarahan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap kematian tragis arwah Zara.