Lindungi Data Peribadi Anda Dengan Menyemak Terlebih Dahulu Terma Dan Syarat Program E-Tunai Rakyat

Trending

Lindungi Data Peribadi Anda Dengan Menyemak Terlebih Dahulu Terma Dan Syarat Program E-Tunai Rakyat

Program E-Tunai Rakyat dari pembentangan Belanjawan 2020 mendapat sambutan yang cukup hangat dari rakyat Malaysia. Untuk program ini, rakyat Malaysia berpeluang menerima RM30 di dalam dompet digital atau e-wallet menerusi tiga aplikasi yang terpilih.

Baca: GrabPay Antara Yang Dipilih Untuk E-Tunai Rakyat Dengan Pemberian RM30 Kredit Untuk Dompet Digital

Advertisement

Peruntukan sebanyak RM450 juta ini mula diagihkan kepada rakyat Malaysia bermula semalam sehingga 14 Mac 2020. Matlamat utama program ini semestinya untuk menggalakkan penggunaan e-wallet dalam kalangan rakyat Malaysia.

Di dalam keghairahan anda mendapatkan RM30 dari program e-tunai rakyat ini, sudahkan anda mengambil masa untuk membaca terma dan syarat terlebih dahulu? Di dalam mana-mana program, terma dan syarat mempunyai 3 bahagian penting iaitu kriteria kelayakan, insentif program dan perlindungan data peribadi.

Perlindungan data peribadi

data peribadi

Adakah anda tahu apakah data yang dilindungi oleh Akta? Sebarang data yang membolehkan seseorang individu yang masih hidup dikenalpasti adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi. Beberapa contoh data boleh dianggap sebagai data peribadi selagi seseorang individu yang masih hidup boleh dikenalpasti daripada maklumat atau data tersebut:

  • Nama dan alamat
  • Nombor kad pengenalan
  • Nombor pasport
  • Maklumat kesihatan
  • Alamat e-mel
  • Gambar
  • lmej dalam rakaman litar tertutup (CCTV)
  • Maklumat dalam fail peribadi

Di dalam mana-mana program, pengguna mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak untuk membenarkan mereka mengambil data peribadi anda. Sebelum itu, mari kita lihat terlebih dahulu terma dan syarat yang dikeluarkan oleh GrabPay untuk program e-tunai rakyat ini untuk bahagian Perlindungan Data Peribadi.

Terma Dan Syarat GrabPay

Dengan memohon program ini, notis privasi data [pemohon] (“kami”) yang telah disediakan kepada anda, akan tertakluk. Tambahan kepada notis privasi data, anda juga bersetuju dan memberi keizinan kepada kami, syarikat-syarikat gabungan kami, Kerajaan Malaysia dan penama-penamanya, jabatan-jabatan dan/atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengumpulkan, menyimpan, menggunakan, memproses dan mendedahkan Data Peribadi anda (yang mana termasuk, tetapi tidak terhad kepada, nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon anda, dan, apabila diminta, butiran akaun bank, penyata bank dan maklumat transaksi) bagi tujuan berikut:

  • Menyediakan dan mendedahkan Data Peribadi anda kepada kami, penyedia-penyedia perkhidmatan (yang mungkin terletak di luar Malaysia), Kerajaan Malaysia dan penama-penamanya, jabatan-jabatan dan/atau agensi-agensi kerajaan untuk mengesahkan dan memproses kelayakan permohonan anda untuk program ini.
  • Mengesahkan tuntutan insentif dengan e-Dompet lain yang terlibat jika berlaku pertikaian.
  • Memproses sebarang rungutan yang mungkin ada daripada anda kepada kami bagi program ini.
  • Menghantar sebarang notis atau komunikasi kepada anda melalui penyedia perkhidmatan pihak ketiga berkaitan program ini.
  • Mengumpulkan data (termasuk maklumat transaksi) ke atas produk atau perkhidmatan yang anda belanjakan dengan insentif anda.
  • Memberikan Data Peribadi anda kepada penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang berkaitan bagi tujuan untuk memberikan kesan yang sepenuhnya kepada program ini.
  • Menyediakan dan mendedahkan Data Peribadi anda (yang mungkin termasuk maklumat transaksi anda) kepada Kerajaan Malaysia dan penama-penamanya, jabatan-jabatan dan/atau agensi-agensi kerajaan untuk memastikan kejayaan program ini.

Antara maklumat yang diperoleh kerajaan sebagai pulangan kepada insentif RM30 ini ialah wajah anda, gambar kad pengenalan, nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon dan maklumat penggunaan insentif RM30 (untuk apa, di mana dan bila dibelanjakan).

Sekiranya anda tidak bersetuju data anda diambil, jangan risau kerana anda masih boleh untuk tidak bersetuju jika anda tidak mahu data anda diambil oleh pihak lain. Namun kesannya, anda juga tidak akan dapat menerima RM30 dari program E-Tunai Rakyat. Di penghujung bahagian terma dan syarat, tertulis:

Harap maklum bahawa anda tidak akan dapat menyertai program ini sekiranya anda tidak bersetuju dan memberi keizinan kepada pengumpulan, penyimpanan, penggunaan, pemprosesan dan pendedahan Data Peribadi anda. Kami akan menyimpan Data Peribadi anda selaras dengan prinsip-prinsip pemprosesan data (termasuk Prinsip Keselamatan) yang terkandung di dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Data E-Tunai Rakyat

lim guan eng

Sementara itu, Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng memberitahu data yang diperolehi daripada inisiatif e-Tunai Rakyat tidak akan disalahgunakan untuk kegunaan komersial. Menurutnya, pengguna tidak perlu bimbang data mereka dieksploitasi menerusi program ini.

Maklumat (yang dikumpul) adalah untuk kerajaan dan ia tidak akan dikongsikan dengan syarikat-syarikat lain. Anda mungkin bimbang ada pihak yang akan melombong data (pengguna), tapi jangan bimbang, kerajaan bukan syarikat komersial.

Tambahnya lagi, untuk pertubuhan komersial, sesetengah mereka akan berminat untuk melihat pola penggunaan dan menggunakan maklumat tersebut. Bagaimanapun kerajaan bukan mengendalikan perniagaan, jadi kami tidak akan membenarkan (akses kepada sektor perniagaan).

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...