Lima lelaki, berusia dari 18 hingga 22 tahun, lemas ketika mandi di air terjun Kal Mandavi yang popular berhampiran bandar Jawhar di Palghar, Maharashtra, India, pada petang Jumaat lalu.
Menurut pihak berkuasa di sana, mereka adalah sebahagian daripada 13 orang sahabat yang berkelah dan berenang di sana.
Ketika sedang berenang, arus deras dari aliran air terjun telah menarik lima orang daripada mereka ke perairan dalam seterusnya mereka gagal dikesan.
Rakan mereka yang lain segera melaporkan kejadian itu kepada pasukan bomba dan unit penyelamat tempatan yang kemudiannya bergegas ke tempat kejadian.
Mereka telah mencari keseluruhan kawasan itu selama lebih dari empat jam dan akhirnya berjaya menemui mayat kelima-lima mangsa.
“Kami telah menghantar mayat untuk bedah siasat di hospital tempatan Jawhar. Tidak jelas adakah mereka ada meminum minuman beralkohol. Dari siasatan awal, diketahui bahawa kesemua mangsa tidak pandai berenang mengakibatkan mereka tidak dapat melawan arus yang deras di sana.”
Penduduk tempatan mengatakan kejadian itu sangat mengejutkan, apabila sekumpulan remaja berjaya menyelusup keluar untuk berkelah ketika perintah ‘lockdown’ masih sedang dijalankan di negara itu.
Air terjun Kal Mandavi terkenal dengan keindahannya dan berkedalaman sekurang-kurangnya pada 100 meter.Disebabkan oleh hujan lebat yang melanda kawasan itu baru-baru ini, kekuatan air dan arus meningkat secara drastik, menjadikannya tempat yang berisiko tinggi.