Pembunuhan Datuk Mazlan Idris
Kes pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris hampir 20 tahun lalu disifatkan jenayah paling ngeri dalam sejarah negara dan memeranjatkan ramai pihak.
Penemuan mayat Mazlan yang dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di dalam sebuah lubang sebelum disimen membawa kepada penahanan pasangan bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin.
Mazlan dibunuh pada 2 Julai 1993 di bilik air sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang dengan kapak selepas mengadakan pertemuan dengan pasangan bomoh itu.
Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 memutuskan ketiga-tiganya bersalah membunuh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan rayuan mereka untuk mengurangkan hukuman juga ditolak.
Pada 2 November 2001, mereka menjalani hukuman itu di Penjara Kajang dan jenazah Mona dan Mohd Affandi dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada jam 11.05 dan 11.30 pagi, manakala jenazah Juraimi dimandi dan dikebumikan di kampungnya iaitu di Teluk Gong, Klang, pada 11.15 pagi hari sama.
Kes Rogol dan Bunuh Noor Suzaily Mokhtar
Pada 7 Oktober 2000, Noor Suzaily Mokhtar, seorang jurutera komputer telah menaiki sebuah bas awam ke tempat kerjanya. Namun sesuatu yang tidak dijangkakan telah berlaku, di mana Suzaily telah dirogol, liwat dan dibunuh oleh pemandu bas tersebut.
Pemandu bas dikatakan telah menurunkan kesemua penumpang bas kecuali Suzaily, sebelum mengambil laluan jalan yang berbeza dan melakukan jenayah tersebut di sebuah tempat. Pemandu bas kemudian bergerak semula di atas jalan raya di mana Noor Suzaily dilihat mengetuk pintu bas dan meminta tolong oleh seorang saksi utama yang merupakan seorang remaja lelaki. Itulah kali terakhir dia dilihat masih hidup.
Pesalah, seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai anak, Hanafi Mat Hassan didapati bersalah dan dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 April 2002 kerana membunuh Noor Suzaily, 24, di antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan tapak pembinaan projek perumahan di Taman Bukit Tinggi, Klang di antara jam 8.50 pagi hingga 9.15 pagi pada 7 Oktober 2000.
Tertuduh yang pernah berkahwin empat kali, juga dipenjara 20 tahun dan 12 sebatan atas tuduhan merogol mangsa.
Hukuman penjara yang dikenakan itu adalah maksimum mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Hanafi telah menjalani hukuman gantung sampai mati pada tahun 2008.
Kes Rogol dan Bunuh Canny Ong
Canny Ong diculik di pusat beli-belah di Bangsar pada 13 Jun 2003 sebelum mayatnya yang rentung ditemui dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya pada 17 Jun 2003. Plot tragis pembunuhan itu bermula apabila Canny yang ditemani ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis makan malam di Restoran Monte di Pusat Beli-belah Bangsar (BSC), tempat di mana Ahmad Najib melihat beliau. Dia kemudiannya hilang dipercayai diculik bersama kereta Proton Tiara bernombor pendaftaran WFN 6871.
Mayat Canny kemudiannya dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembetungan seluas 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu. Mayatnya tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam lubang pembetungan itu empat hari selepas dia diculik dari tempat meletak kereta BSC.
Suspek yang juga seorang pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan merogol Canny.
Kes Bunuh Datuk Sosilawati Lawiya
Berita kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, mula tersebar di laman sosial Twitter semasa pertengahan bulan Ramadhan 2010. Pada 12 Sep 2010, Polis Diraja Malaysia mengesahkan Datuk Sosilawati dan tiga orang yang mengiringinya ke Banting, Selangor untuk satu urusan pembelian tanah telah mati dibunuh. Menurut Utusan, keempat-empat mayat dan salah satu daripadanya mayat Datuk Sosilawati ditemui di pantai Morib. Kesemua mereka dibunuh kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.
Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut ialah di mana suspek membuang abu mayat selepas dibakar di ladang ternakan ayam (Ladang Gadong, Tanjung Sepat) tersebut dan pasukan penyelam Polis Marin manjalankan operasi mencari bahan-bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga lelaki lain. Sungai itu terletak di Kampung Endah, kira-kira dua kilometer dari Ladang Gadong Tanjung Sepat.
Jam tangan mewah milik Sosilawati yang diambil salah seorang penjenayah sebagai ‘kenang-kenangan’ selepas mangsa dibunuh menjadi petunjuk paling penting berhubung kes tersebut.
Kes ini masih dalam perbicaraan dengan empat orang suspek sudah mengaku bersalah manakala empat suspek lagi temasuk suspek perancang utama, bekas peguam N. Padmanabhan masih dibicarakan kerana tidak mengaku bersalah.
Kes Bunuh Nurin Jazlin
Nurin Jazlin Jazimin merupakan anak kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman daripada 3 orang adik beradik. Beliau merupakan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur. Beliau dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Pelbagai usaha dilakukan melalui media dan orang ramai termasuklah Polis Diraja Malaysia dan Badan Bukan Kerajaan (BBK) untuk mengesan Nurin yang dipercayai diculik.
Misteri kehilangan akhirnya terjawab apabila mayat tanpa pakaian dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 September 2007 dan setelah ujian DNA dijalankan, ia mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin Jazlin.
Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan kanak-kanak itu, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria dan ini antara faktor yang menyumbang kepada kematiannya.
Fizikal kanak-kanak itu yang ditemui mati dengan keadaan “kurus kering” selain dengan pelbagai kesan lebam pada badannya menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya semasa membuat pengecaman pertama kali.
Jenazah Nurin Jazlin dituntut dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disembahyangkan di Madrasah Assa’Adah, Seksyen 1, Wangsa Maju yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tanah perkuburan itu. Akhirnya beliau disemadikan kira-kira pukul 2.45 petang selepas solat Jumaat pada 20 September 2007 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak. Ibubapa beliau beserta tiga adik-beradik Nurin Jazlin tidak dapat menahan tangisan mereka ketika jenazah itu diturunkan ke liang lahad.
Kes ini masih dibuka, tiada pendakwaan dilakukan kerana petunjuk yang sangat sedikit. Terdapat satu rakaman kamera litar tertutup di tempat mayat dijumpai yang menunjukkan seorang lelaki yang menaiki motor meletakkan beg berisi mayat Nurin, tetapi ia terlalu kabur. Namun perbuatan jenayah ini disyaki dilakukan oleh penjenayah yang beroperasi dari van putih, dan besar kemungkinan terdapat lebih dari seorang penjenayah yang terlibat. Nantikan bahagian kedua siri ini, hanya di AmazingNara.com !