Lima Cerita-cerita ‘Catfish’ Yang Menggemparkan Malaysia

Trending

Lima Cerita-cerita ‘Catfish’ Yang Menggemparkan Malaysia

Bagi mereka yang tidak tahu, ‘catfish’ ialah satu terma yang digunakan untuk merujuk kepada satu watak yang direka seseorang untuk berinteraksi di media sosial bagi menipu.
Ini bermakna, watak ini berinteraksi dengan individu lain sambil menggunakan gambar dan latar belakang palsu untuk memperdaya mangsa, untuk apa-apa tujuan sekalipun. Berikut ialah lima kes ‘catfish’ yang telah atau sedang hangat diperkatakan oleh Netizen Malaysia.

Maya Darina Dahlan Himes Vs Pierre Andre

Pada tahun 2008, pelakon Pierre Andre dikatakan hangat bercinta dengan seorang  wanita kacukan bernama Maya Darina Dahlan Himes@ Hain. Apa yang menarik, kewujudan Maya Darina di dunia nyata tak pernah dapat dibuktikan oleh sesiapa.

Advertisement

Maya Darina juga merupakan seorang penulis blog di madarina.blogdrive.com dan telah mengumpul ramai pengikut kerana kebolehan menulis dan cerita-cerita mengenai hubungan cinta beliau, antaranya dengan suami Marion Caunter (ketika itu teman lelaki), SM Nasaruddin SM Nasimuddin yang kononnya pernah melamar Maya Darina. Maya Darina dikatakan seorang gadis cantik kacukan Melayu-Inggeris yang kaya raya, namun menghidap penyakit kronik.

Bagaimanapun, setelah kisah ini mendapat tumpuan ramai, Maya Darina telah memadam blog tersebut dan menghilangkan diri.


Mengikut pendedahan melalui rancangan Melodi, seorang penulis skrip drama, telefilem dan filem tempatan, Ellyna Ahmad ialah Maya Darina yang sebenar. Ellyna didakwa telah mereka watak itu di Internet dan ‘bercinta’ dengan beberapa orang selebriti.

Ellyna dikatakan bercakap dengan mereka menerusi telefon sambil menyamar sebagai wanita bernama Maya Darina. Untuk menguatkan cerita yang Maya Darina itu wujud, Ellyna juga dikatakan mencipta pelbagai watak lain antaranya Melia, Molly dan Mollyna untuk berkomunikasi dengan mangsanya.

Satu-satunya individu yang mendakwa Maya Darina wujud ialah Ellyna namun wanita itu tidak dapat membuktikannya. Setelah pendedahan dibuat di Melodi, Pierre Andre dipercayai telah dapat menerima hakikat Maya Darina tidak wujud, manakala Ellyna dikatakan telah dikeluarkan dari menjadi penulis skrip untuk sebuah syarikat perfileman yang menaungi Pierre dan Farid Kamil.

Kisah ini juga khabarnya sebenarnya dibongkarkan oleh salah seorang staf syarikat tersebut kepada pihak media.

Arianna Melissa @ Bvlgarigirl Vs Netizen

Arianna Melissa ialah satu watak yang pernah menulis di bvlgarigirl.blogspot.com. Arianna menggunakan blog itu untuk menceritakan mengenai kehidupannya bersama anak angkat bernama Clara serta hubungan cinta dengan seorang pemuda Iban bernama Kevin.

Disebabkan bakat penulisannya, Arianna Melissa mengumpul pengikut yang setia membaca kisah-kisahnya sejak tahun 2008.

Arianna dikatakan berdarah kacukan Melayu dan Inggeris manakala datuk dan neneknya pula berketurunan Inggeris. Bagaimanapun, Arianna keberatan meletak gambar wajahnya, sebaliknya hanya meletak gambar sipi-sipi dan pernah dia meletakkan gambar penuh, tetapi memadamnya semula.

Salah seorang penulis blog lain waktu itu, mendapati Arianna menggunakan gambar pelakon jelita Indonesia, Inka Noverita, kononnya ia gambarnya yang sebenar.

Arianna juga menggunakan gambar-gambar orang lain, antaranya  dari satu blog berbahasa cina. Gambar itu gambar seorang gadis cina, di mana, Arianna telah crop wajah gadis itu dan ambil gambar rambutnya sahaja, sambil mengatakan itu gambarnya.

Bagaimanapun, Arianna sering mengiklankan pavlova yang dibuat oleh seorang penulis blog lain yang didakwa mengenalinya.

Penulis blog itu (yang sebenarnya berbadan gempal) ialah seorang surirumah dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Lily juga menjalankan perniagaan durian crepe secara dalam talian.

Apa yang menarik, gambar yang diletakkan Arianna mendakwa diambil di rumahnya, sama dengan keadaan rumah si penjual pavlova yang meletakkan gambar di blog Mommy to Lily. Malah watak Clara yang dikatakan anak angkat Arianna ialah gambar yang sama dengan gambar anak penjual pavlova itu.

Semua ini dibongkarkan netizen sekitar awal 2013. Timbul dakwaan bahawa penjual pavlova itu mencipta watak Arianna Melissa, gadis kacukan, untuk mempromosikan dan melariskan pavlova dan durian crepe yang dijualnya serta mendapatkan pendapatan dari Nuffnang.

Wanita itu menafikannya dan mendakwa Arianna Melissa telah mencuri gambar dari blognya tanpa pengetahuannya. Dia juga mengugut akan menyaman netizen yang menuduhnya sebagai Arianna Melissa.

Bagaimanapun, penjual pavlova tersebut telah memadam blog beliau selepas itu, manakala blog Arianna telah diletakkan dalam mod peribadi.

Lela Jamaluddin Vs Asraruddin Putra Omar

Hujung tahun 2013, pemain bolasepak tempatan terkenal, Mohd Asraruddin Putra Omar (juga pemain bolasepak negeri Selangor dan kebangsaan) telah memberi mesej secara terbuka didakwa sebagai ‘my love’ kepada seorang wanita yang dikatakan kekasihnya, yang bernama Lela Jamaluddin di Instagram.

Ramai yang menganggap Lela Jamaluddin menggunakan gaya bahasa yang terlalu kasar untuk seorang perempuan belia, namun secara defensif apabila perkara ini diajukan kepadanya, Lela Jamaluddin menafikannya. Lela banyak memuat naik gambar yang didakwa dirinya melakukan pelbagai aktiviti seharian, namun menyangkal habis-habisan yang dia sebenarnya seorang yang ‘palsu’.

Bagaimanapun, hasil siasatan sekumpulan netizen mendapati, Lela Jamaluddin, atau siapa saja disebaliknya didapati menggunakan gambar-gambar seorang wanita yang tinggal di Kota Kinabalu, Sabah, yang hanya dikenali dengan nama Olivia. Olivia berasal dari Tanjung Aru dan sudah mempunyai teman lelaki. Nampaknya, Olivia juga tidak mengetahui tentang gambarnya yang dicuri dan digunakan oleh orang lain.

Netizen mendakwa watak Lela Jamaluddin sebenarnya dicipta oleh seorang pemuda bernafsu songsang yang juga seorang pengikut Facebook Olivia untuk memikat beberapa orang pemain bolasepak. Kisah Lela Jamaluddin ini senyap begitu saja selepas itu, kerana setelah dikantoikan, akaun Lela Jamaluddin telah dipadamkan dan Asraruddin tidak lagi menyebut mengenai Lela.

Illana Imani Abdul Rashid Vs Netizen

Illana Imani ialah salah seorang curator untuk Twitter cerita seram @seramshit menggunakan tweet handle @justcuk . Illana dikatakan seorang gadis kacukan yang kaya raya, mempunyai dua orang abang bernama Iqbal dan Ilham dan seorang adik lelaki, bagaimanapun menghidap penyakit kronik iaitu tumor otak tahap empat.

Kebolehan Illana menyampaikan cerita seram di @seramshit menarik perhatian ramai pihak, antaranya seorang Netizen bernama Sophie Al-Yahya dan mendorong dia berkenalan dengannya. Illana Imani mempunyai akaun khusus dan inilah wajahnya seperti yang dimuat naik di satu akaun Instagram.

Apa yang menarik, salah seorang yang mendakwa mengenali dan pernah berjumpa dengan Illana ialah seorang pengguna Twitter bernama Lyn, yang juga pernah menjadi kurator @seramshit. Bagaimanapun, setelah berkomunikasi dengan Lyn, Sophie berpendapat cara Lyn berbahasa sama saja dengan Illana.

Tambahan pula, Illana mendakwa menjalani rawatan kemoterapi di Royal Marsden Hospital, London, tetapi apabila Sophie memberitahu ingin melawat Illana di Royal Marsden, ada saja alasan yang diberikan. Sophie yang datang ke London untuk satu urusan telah datang sendiri ke Hospital Royal Marsden bertanyakan wad Illana Imani pada staf, bagaimanapun hospital itu mendakwa tidak ada pesakit bernama Illana Imani.

Hasil carian lanjut mendapati nombor telefon bimbit yang digunakan oleh Iman berdaftar atas nama Lyn, yang nama penuhnya ialah Ellyna Ahmad. Ya, Ellyna Ahmad yang sama dengan kes Maya Darina tahun 2008.

Gambar-gambar Illana Imani pula didapati dicuri dari Instagram Jessica Diaz Wilson, penulis blog Filipina yang tinggal di Los Angeles. Setelah kantoi, Instagram Illana iaitu @redillana dan Twitter @justcuk telah dinyahaktifkan.

Isabelle Iman Vs. Pekin Ibrahim?

Terbaru, ialah mengenai model antarabangsa yang didakwa bercinta dengan pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim. Model itu juga seorang pelukis, bernama Isabelle Iman (sama pula dengan Iman kes Sophie). Khabarnya Pekin dan Iman telah bercinta selama dua tahun dan Pekin juga dikatakan akan menamatkan zaman bujangnya dengan Isabelle. Namun begitu, tiada siapa pernah melihat gambar sebenar Isabelle Iman yang menggunakan akaun Instagram @iamiman_22. Isabelle banyak melukis gambar, antaranya pelakon Idris Khan.

Walaupun dituduh bercinta dengan halimunan, Pekin menafikannya dan mendakwa telah membawa Iman bertemu dengan ibunya dan juga beberapa orang rakan rapat. Bagaimanapun, tidak ada gambar Iman bersama ibunya, atau rakan-rakan atau dengan Pekin sendiri yang dimuat naik untuk membuktikan kewujudan Isabelle Iman.

Sekumpulan Netizen di Forum Cari telah membuat penyiasatan mengenai Isabelle Iman. Bukan saja tidak pernah menunjukkan gambarnya, Iman dipercayai menggunakan perisian atau aplikasi untuk menukar gambar sebenar selebriti menjadi seperti lukisan. Dia juga didapati menggunakan gambar-gambar dari Instagram seorang model Czech, Sebina Plestilova di Instagramnya.

Malah gambar jari Iman Isabelle juga kelihatan gempal dan tidak seperti jari seorang model.
 Setelah dikantoikan di Forum tersebut Isabelle Iman telah hilang dari Instagram. Baru-baru ini wartawan Raja Mawar dari Berita Harian juga mencabar Pekin Ibrahim membuktikan kewujudan Iman melalui satu kolum tulisannya, bagaimanapun cabaran itu masih belum disahut. Mengapa Isabelle Iman menghilang? Anda rasa? –amazingnara.com

Sumber: Sophie Al-Yahya, Forum Cari

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...