Tidak segan mendedahkan dirinya berasa sebak sewaktu menyanyikan lagu Seribu Tahun nyanyian asal Imran Ajmain ketika majlis resepsi pelakon Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar pada Ahad lalu, penyanyi dan pelakon Naim Daniel akui situasi bertambah emosi selepas dia melihat Emir memegang erat tangan Mira.
Tambah Naim, ia seakan memberi impak kepada penghayatannya setiap apabila bait lirik dan melodi lagu tersebut seolah terpalit dengan situasi yang dilihatnya.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Naim menerusi sebuah posting yang dimuat naik di laman Instagramnya.
“Tiba-tiba teremosi pula nyanyi Seribu Tahun hari ini, tambahan pulak masa bahagian lirik “jangan putus harapan sedia setia”. Itulah saat saya melihat Wan Emir Astar genggam tangan Mira Filzah kuat-kuat.”
Dalam pada itu, pelantun lagu Sumpah turut menitipkan doa buat pasangan sama cantik sama padan ini.
“Hari yang indah untuk mereka dan saya mendoakan yang terbaik dan yang terbaik untuk pasangan ini. Terima kasih kerana mempercayai saya untuk membuat persembahan di hari bahagia awak berdua.”
Untuk rekod, majlis resepsi Mira dan Emir berlangsung meriah di A-Park, Puchong, yang dihadiri teman rapat, rakan selebriti dan media.