Lihat Bagaimana Anak Autism Ini Berjaya Tawan 3 Gunung Sekaligus

Trending

Lihat Bagaimana Anak Autism Ini Berjaya Tawan 3 Gunung Sekaligus

Memiliki anak yang sempurna dan sihat adalah impian semua ibu bapa di dunia ini. Tetapi setiap perjalanan pasti akan ada dugaan yang menanti.

Memiliki anak-anak istimewa mungkin satu dugaan tetapi mereka juga merupakan satu rezeki dan amanah yang perlu disyukuri dan dijaga dengan penuh kasih sayang serta perhatian. Menjaga anak autisme bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi dengan kesabaran dan pelbagai bantuan serta kemudahan yang ada sekarang mungkin dapat membantu ibu bapa membesarkan mereka dengan sempurna seperti kanak-kanak lain.

Advertisement

Ikuti kisah seorang anak istimewa, Aqiel Haqqu, yang berjaya menawan tiga buah gunung di Indonesia sekaligus.

Dia berjaya menawan 3 gunung sekaligus di Indonesia,

  1. Gunung Merbabu 15 Ogos 2018
  2. Gunung Andong 17 Ogos 2018
  3. Gunung Prau 18 Ogos 2018

Dengan suhu paling sejuk 4 darjah celcius ketika catatan di Gunung Merbabu dia juga berjaya mengharungi keadaan paling tidak selesa yang pernah dia alami setakat ini.

Dia juga antara pendaki cilik yang ditegur dikalangan pendaki2 Indonesia ketika on track. Sebelum Haqqu dapat menghabiskan pendakian 3 gunung ini (Merbabu, Andong, Prau) sedikit persiapan dan latihan telah pun dilakukan di Malaysia hampir kira-kira setahun. Alhamdulillah beliau berjaya menawan beberapa gunung dan juga bukit.

HARI 1 – 15 Ogos 2018 (Gunung Merbabu)

Ketibaan kami di basecamp Gunung Merbabu, disambut dengan keadaan cuaca yang cukup baik. Haqqu ketika itu teruja untuk memulakan perjalanan mendaki. Kelebihan anak autism ini, mereka tidak akan mengenal erti penat ketika waktu berjalan. Malah saya dan isteri telah pun ketinggalan jauh dibelakang Haqqu ketika itu. Mujur ada guide yang mengiringi beliau ketika keadaan memerlukan beliau memanjat serta ketika berehat. Setelah hampir 4 hingga 5 jam pendakian, kami selamat tiba di Merbabu dengan keadaan cuaca sejuk!

Ketika inilah keadaan yang kurang selesa menyebabkan Haqqu sukar untuk tidur sehingga awal pagi esok. Alhamdulillah kami selamat turun dari Gunung Merbabu dan seterusnya turun ke basecamp untuk persedian pendakian berikut di Gunung Andong.

HARI 3 – 17 Ogos 2018 (Gunung Andong)

Setelah mendapat cukup rehat dan persediaan dibuat, kami berangkat ke basecamp Gunung Andong pada jam 4 pagi. Setelah selesai segala dokumentasi, Haqqu dengan iringan salah seorang guide telah laju kehadapan meninggalkan kami berdua. Trek bertangga sepanjang perjalanan ke Gunung Andong ini mengakibatkan Haqqu kepenatan dan sesekali kami mendengar suara kepenatan beliau. Jam 8 pagi kami semua selamat sampai ke puncak Gunung Andong dengan ribuan pendaki-pendaki tempatan Indonesia ketika itu.

Dan sememangnya  ini sudah dijangka keadaan sesak pada ketika itu kerana Indonesia menyambut hari kemerdekaannya. Pengalaman bersama-sama lebih 3 ribu orang warga Indonesia menyambut hari kebangsaan mereka, 17 Ogos 2018 di puncak Andong sememangnya sesuatu yang menarik yang akan kami kenang! Haqqu juga menjadi tumpuan disini kerana beliau antara segelintir pendaki muda (Malaysia).

HARI 4 – 18 Ogos 2018 (Gunung Prau)

Pendakian bermula pada jam 8 pagi dengan keadaan cuaca baik dari bandar Dieng. Gunung ini antara lokasi pilihan bagi para pendaki tempatan. Seperti biasa Haqqu akan diiringi oleh guide yang sememangnya sudah cukup akrab sepanjang kami di Indonesia. Dengan keadaan cuaca kadangkala suhu dingin dan cerah, Haqqu sekali lagi berjaya menghabiskan pendakian untuk sampai ke gunung ketiga dan terakhir untuk trip ini. Seperti di Gunung Merbabu, keadaan cuaca sejuk melampau pada waktu malam telah mengakibatkan ketidakselesaan kepada kami semua. Mujur dengan sedikit persediaan awal sebelum pendakian, kami dan khususnya Haqqu dapat tidur dengan nyenyak pada waktu malam!

Untuk makluman semua, anak saya Aqiel Haqqu dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain dan tiada apa-apa masalah ketika dilahirkan. Haqqu telah disahkan mengidap Mild Autism pada umur 3 tahun setengah.

Setiap anak mempunyai kelebihan atau keistimewaan masing-masing. Kami tidak menganggap kekurangan pada Haqqu sebagai penghalang untuk dia menjadi manusia hebat dikalangan mereka yang normal diluar sana. Sekiranya anda asyik menumpukan kepada kekurangan, maka anda tidak akan sedar adanya kelebihan dalam diri mereka.

 

Sebab itulah anda perlu mengenal pasti kelebihan anak anda dan berusaha mengasah bakat yang mereka ada. Pada masa yang sama, anda harus mengelak daripada membuat perbandingan antara anak anda dengan kanak-kanak normal yang lain.

Anda tahu apa yang terbaik dan sesuai untuk anak anda dan ia tidak semestinya sama dengan orang lain. Berbalik kepada Haqqu, aktiviti hiking adalah antara senaman atau terapi terbaik sekaligus kami sekeluarga membawa dia menikmati alam dan juga keindahan dengan lebih dekat yang dicipta oleh penciptaNYA. Melalui pembacaan, aktiviti ini juga dapat mendisplinkan diri beliau iaitu mengikut segala arahan yang harus dipatuhi ketika mendaki.

Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat serta guide on trip ketika menjaga beliau semasa naik dan turun gunung-gunung disana walaupun bahasa yang Haqqu gunakan kadangkala pening nak paham.

Nasihat saya , jangan malu untuk bawa anak2 istimewa ini beriadah dan seterusnya menyaksikan keindahan dan kebesaranNya.

Cuma kecekalan dan ketabahan untuk membawa anak-anak ini adalah suatu cabaran yang luar biasa buat kami.

Bagi keluarga yang mempunyai anak autism seperti Haqqu, mereka tidak perlu bersedih dan merasa malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Sepatutnya mereka berbangga dengan anugerah Allah SWT ini kerana anak istimewa hanya dianugerahkan kepada ibu bapa yang istimewa.

Sumber: Mohd Nizam Zambari

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...