Ini bukan kali pertama kita mendengar keluhan daripada warga pendidik tentang sikap pelajar zaman sekarang yang acuh tak acuh dengan pembelajaran di sekolah, terutamanya selepas peperiksaan penting UPSR dan PT3 dimansuhkan.
Guru ini tidak terkecuali selepas dia turut meluahkan rasa lelah dengan kerenah dan cara pelajarnya menjawab soalan peperiksaan.
Menerusi perkongsian di X, katanya pelajarnya tidak berusaha untuk menyelesaikan jawapan soalan dalam kertas peperiksaan. Hal itu terbukti menerusi gambar yang dikongsikannya yang memaparkan cara pelajarnya menjawab soalan peperiksaan.
“Stress murid lebih penting. Diambil maklum.” tulisnya di X, dipercayai menyindir kata-kata daripada YB Fadhlina Sidek sebelum ini.
Berdasarkan foto kertas peperiksaan yang dikongsi, boleh dilihat pelajar berkenaan menjawab sambil lewa sahaja dan tidak mementingkan keputusan yang cemerlang.
Boleh nampak pelajar itu tidak menjawab sehabis baik malah hanya meletakkan ‘link’ dan turut menyalin semula soalan yang diberikan.
Tambah guru itu, dia tiada niat untuk mengaibkan dan tidak pun mendedahkan identiti pelajar tersebut tetapi kerana bimbang dengan tahap pembelajaran mereka memandangkan itu merupakan peperiksaan akhir sesi persekolahan.
Hantaran itu mendapat perhatian warganet yang bimbang dengan tahap kepintaran pelajar zaman sekarang serta turut mempersoal keputusan pihak kementerian untuk kekal memansuhkan peperiksaan penting.
Sebelum ini, kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menjelaskan faktor kementerian kekal memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3 adalah untuk mengurangkan tekanan murid.