Jejaka yang tular sebelum ini kerana menjalankan perniagaan menjual daging salai untuk mencari dana pembedahan dilaporkan selesai menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepala pada 25 Februari.
Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, berkata dia akan tetap teruskan berniaga daging salai untuk kelangsungan hidup terutamanya hutang yang belum dibayar.
Katanya, dia perlu melunaskan bayaran RM4,680 kepada jururawat peribadi yang menjaganya di HSB selama tiga minggu selepas menjalani pembedahan tersebut.
Ujar Sufi, ibunya tidak mampu menjaganya selepas pembedahan jadi mereka mengupah jururawat peribadi dan bayarannya belum dilunaskan sepenuhnya.
Selain itu, saya juga perlu jelaskan bayaran pinjaman rumah RM1,300 dan pinjaman peribadi RM500 setiap sebulan. Saya kini hanya dibayar separuh gaji (RM1,500 sebulan) kerana mengambil cuti sakit lebih setahun, jadi saya harap dapat bekerja semula dengan segera.
Sufi bersyukur keadaan fizikalnya di bahagian kepala sudah kembali normal dan dia juga semakin pulih serta merancang kembali menjual daging salai selepas Syawal.
Harap masih ada yang menyokong perniagaan saya.
Sebelum ini, video Sufi berniaga daging salai di TikTok untuk mencari dana pembedahan telah tular di media sosial dan mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM15,000.
Sekitar dua tahun lalu, Sufi telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah menyebabkannya koma selama lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepala.