Seringkali kita dengar perkara pelik dan aneh terjadi di negara luar. Terbaru, seorang lelaki telah menarik perhatian umum apabila berkongsi pengalaman melahirkan dua orang anak.
Kejadian itu berlaku di Texas, Amerika Syarikat di mana dia sebenarnya lelaki transgender iaitu wanita yang menukar jantina lelaki namun masih memiliki rahim.
Menurut portal Metro UK, Kayden Coleman,34 mempunyai dua anak dengan pasangannya. Dia lebih suka menjadi ‘bapa’ kepada mereka namun mendedahkan pengalaman trauma yang dilalui ketika hamil.
Kayden pernah mendedahkan pernah ditawarkan untuk menggugurkan kandungannya beberapa kali. Dia yang memulakan proses menukar jantina pada 2009, tetapi membuang organ pembiakan wanita.
Sekitar Mac 2013, dia menjalani mastektomi untuk membuang payudaranya dan terpaksa berhenti mengambil hormon testosteron buat sementara waktu.
Ketika itu, dia terkejut apabila mengetahui sudah mengandung lima bulan sebelum melahirkan anak pertamanya pada 2014. Tambahnya, ramai tidak tahu dia mengandung kerana menganggap ia sekadar pertambahan berat badan.
“Mereka fikir perut saya buncit ini kerana gemuk”.
Kayden juga mengakui dia pernah mengalami kemurungan lepas bersalin seperti dialami oleh sesetengah wanita.