Seorang lelaki patah tujuh gigi serta cedera di kepala dan tangan selepas dibelasah oleh seorang pemandu kerana menegur cara pemanduan individu berkenaan di Jalan Kolam, Kota Kinabalu pada Isnin, lapor Awani.
Mangsa yang berusia 21 tahun memandu kereta jenis Honda S660 dipercayai berselisih dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
Ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur kenderaan yang berada di sebelahnya kerana tidak memberikan isyarat lampu untuk menukar lorong.
Tidak puas hati dengan teguran, pemandu Alza dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan sebatang besi.
ACP Habibi Majinji selaku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu berkata, hasil laporan yang diterima suspek turut dikatakan memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi.
Susulan itu, suspek terus masuk semula ke kenderaannya dan meninggalkan lokasi kejadian. Orang awam membawa mangsa untuk keluar daripada kenderaannya dan menghubungi ahli keluarganya untuk dibawa ke hospital mendapatkan rawatan.
Walau bagaimanapun, suspek yang berusia 36 tahun sudah dapat dikenal pasti dan usaha untuk mencarinya sedang giat dijalankan.
Dalam hal itu, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.