Lelaki Palsukan Kematian Sendiri Kerana Mahu Elak Berkahwin

Trending

Lelaki Palsukan Kematian Sendiri Kerana Mahu Elak Berkahwin

Seorang lelaki berusia 23 tahun bernama Tucker Blandford, dari Connecticut, US, tidak berani untuk memberitahu apa yang benar kepada tunangnya, iaitu dia belum bersedia untuk berkahwin–jadi dia cuba membuat tunangnya percaya dia telah mati. Apabila tunangnya mengetahui apa yang benar, wanita itu patah hati dan kecewa. Kata wanita itu, Alex, yang juga berusia 23 tahun:-

faking-death-550x309

Advertisement

Dia telah memusnahkan kepercayaan saya dan saya tidak pasti sama ada akan bercinta lagi. Apa yang saya lakukan hanyalah mencintai dia. Saya rasa muak dipermainkan dan saya gembira kerana telah membuang dia dalam hidup saya. Mengimbas kembali, mungkin saya terlalu naif, tapi saya betul-betul cintakan dia dan tidak sangka dia akan bertindak sebegitu jauh untuk tinggalkan saya. Saya pernah menangis hingga rasa kebas, tapi kini saya cuma rasa marah.

Bagaimana agaknya Tucker memalsukan kematiannya?

Senang saja bagi Tucker. Alex tinggal di negara lain, jadi mungkin Tucker fikir Alex tidak akan dapat memastikan kebenaran ceritanya. Tucker menelefon Alex pada satu hari, seminggu sebelum tarikh dia dijadualkan untuk melawat Alex, dan berpura-pura menelefon sebagai ayahnya sendiri.

Saya angkat telefon dan ada seorang lelaki mengaku sebagai ayah Tucker.

Dia beritahu saya bahawa Tucker mengalami kemurungan dan mahu bunuh diri, dan telah melompat ke hadapan sebuah kereta yang dipandu laju. Dia beritahu saya juga yang dia telah cuba menghantar Tucker untuk menjalani rawatan psikiatri, tetapi sudah terlambat. Saya rasa tak boleh bernafas. Ia sangat menyakitkan.

Keseluruhan artikel dengan membaca entri ini sepenuhnya.

Disebabkan kecewa, Alex menelefon ibu Tucker untuk mendapatkan sokongan. Dan pada masa itu dia menerima kejutan paling hebat dalam hidupnya, iaitu ibu Tucker langsung tidak tahu menahu mengenai apa yang diberitahu oleh Alex. Dia memberitahu Alex bahawa Tucker masih hidup dan sihat. Alex cuba mengingati perbualan telefonnya dengan ‘bapa’ Tucker sebelum itu, dan menyedari yang suara lelaki itu sebenarnya ialah suara Tucker, bukan suara ayahnya.

faking-death4-550x320

Alex dan Tucker mula bercinta pada Ogos 2012, apabila Alex yang berasal dari UK belajar di US, Dia bertemu Tucker di hari pertama bekerja di panggung wayang kampus mereka di Universiti Connecticut. Perhubungan mereka menjadi semakin serius, malahan Tucker tampak seperti seorang lelaki budiman dan teman lelaki yang sempurna.

Dia selalu belanja saya makan malam dan belikan barangan kemas vintaj yang cantik. Saya tak pernah sayang sesiapa begitu sebelum ini. Setiap Ahad, dia akan bawa saya keluar untuk makan penkek. Dan untuk meraikan hari kami mula bercinta, pada hari kesepuluh setiap bulan dia akan belanja saya makan malam yang mahal.

Pasangan itu menghabiskan masa setahun bersama, dan Alex turut dibawa bertemu ibu bapa Tucker. Mereka melayan Alex seperti anak perempuan sendiri.

Saya bertemu keluarganya dan menjadi rapat dengan ibunya.

Selepas setahun berlalu, Alex kembali ke UK, dan hubungan mereka bakal berakhir. Ia sukar buat Alex, tetapi apa yang mengejutkan ialah Tucker telah melamar Alex sejurus sebelum dia pulang–dan dia menerima dengan gembira. Pasangan itu meluangkan masa bercakap di telefon, berbual tentang impian perkahwinan mereka. Alex membeli satu gaun perkahwinan buatan tangan melalui eBay dan mereka menetapkan tarikh 15 Ogos untuk melangsungkan perkahwinan.

Tucker sepatutnya melawat Alex di UK sebelum perkahwinan berlangsung, untuk bercuti bersama dan merancang hari perkahwinan dengan lebih baik. Alex membayar sendiri harga tiket percutian mereka, walaupun dia sebenarnya kesempitan wang. Dia juga berbelanja untuk jurufoto perkahwinan, jemputan dan gaun pengapit perkahwinan.

Saya berbelanja habis-habisan walau hampir tiada wang. Beberapa minggu sebelum dia sepatutnya datang, saya betul-betul teruja dan gembira.

Beberapa hari kemudian, Tucker menelefon Alex dan memberitahu wanita itu dia telah menempah tempat perkahwinan mereka–iaitu di kampus lokasi mereka pertama kami bertemu.

Saya sendiri tidak terfikirkan tempat mana yang paling romantik untuk kami berkahwin selain tempat itu.

Malangnya itu kali terakhir dia bercakap dengan Tucker, dan seminggu sebelum Tucker dijadual tiba di UK, Alex menerima panggilan telefon memberitahu Tucker telah mati.

Apabila Alex menyedari perkara sebenar, dia juga menyedari yang ibu bapa Tucker tidak tahu tentang pertunangan mereka.

Mereka fikir hubungan saya dengan Tucker telah putus bila saya tinggalkan Amerika. Kemudian saya tersedar bahawa suara di hujung telefon seperti sudah biasa didengar. Saya sedar suara itu milik Tucker yang berpura-pura menjadi bapanya. Dunia saya rasa seperti telah hancur.

Beberapa hari kemudian, Alex memberanikan diri untuk menelefon Tucker bagi mempersoalkan tindakan lelaki itu yang ganjil, tetapi Tucker tidak mengangkat telefon. Tucker mempertahankan diri dengan memberitahu wartawan yang dia belum bersedia untuk berkahwin:-

Alex wanita yang baik tapi pada masa itu saya jadi takut dan mahu keluar dari perhubungan itu. Ia bergerak terlalu cepat dan disebabkan kami tinggal di negara berbeza, ia sangat sukar. Pada masa itu, saya rasa tak sampai hati beritahu perkara sebenar dan fikir jika saya tangguhkan perkahwinan keadaan akan jadi lebih baik.

Dalam kenyataan balas, Alex mengatakan:-

Dia penipu dan pengecut. Dia buat-buat suara lain di telefon dan berpura-pura yang dia ialah bapanya yang sedang bersedih. Hanya orang jahat sanggup buat begitu pada tunang sendiri. Dia pengecut dan tak mahu angkat panggilan saya, dan kemudian hantar saya SMS mengaku dia menipu.

Pasangan itu sepatutnya berkahwin Jumaat lepas dan minggu ini sepatutnya mereka berbulan madu. Alex tetap bercuti ke US walaupun tidak berkahwin.

Saya akan habiskan ‘hari perkahwinan’ kami dengan membina memori baru, tanpa dia.

Apa yang menarik, Alex kini mengendalikan perniagaan perancangan perkahwinan, dan berkata yang sekurang-kurangnya ada juga satu benda yang baik yang hadir dalam hidupnya hasil kekusutan sebelum ini.

Sumber: Daily MailMirror.co.uk

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...