Baru-baru ini, tular beberapa video memaparkan kejadian yang berlaku di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman, apabila seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental menjadi mangsa serangan fizikal.
Insiden berlaku dipercayai selepas motosikal yang ditunggang mangsa secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai jualan.
Mangsa dilaporkan telah dipukul oleh beberapa individu yang berang selepas barang jualan mereka terjatuh.
Memetik dari Buletin TV3, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden, Wan Muhammad Wan Jaafar mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa laporan polis telah diterima.
Kita menerima laporan seorang lelaki berusia 47, dipukul di situ dan hasil siasatan polis mendapati lelaki terbabit cedera dalam kejadian itu.
Lelaki itu dikatakan terlanggar salah sebuah gerai jualan di situ menyebabkan barangan jualan tumpah dan terjatuh.
Kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tempat kejadian bertindak memukul mangsa.
Dimaklumkan, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu, terutama terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-859 2222.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.