Lelaki Nekad Balik Kampung Berjalan Kaki Dari KL Ke Kelantan Selepas Sebulan Tidak Bekerja Dan Dihalau Dari Rumah

Kehidupan

Lelaki Nekad Balik Kampung Berjalan Kaki Dari KL Ke Kelantan Selepas Sebulan Tidak Bekerja Dan Dihalau Dari Rumah

Akibat hilang pekerjaan sejak sebulan lalu dan dihimpit masalah kewangan, Matnoe Poksu Din nekad berjalan kaki sejauh 428 kilometer dari Kuala Lumpur untuk ke Tanah Merah, Kelantan. Lelaki tersebut dikatakan bertolak dari Kuala Lumpur seorang diri dan perjalanan tersebut mengambil masa hampir empat hari.

Menerusi perkongsian isterinya, Sara Anisa, suaminya nekad membuat keputusan drastik itu selepas sebulan tidak dapat bekerja di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dia memulakan perjalanannya itu selepas mendapati bas ekspres ke Kelantan di Bandar Tasik Selatan (BTS) tidak beroperasi.

Advertisement

Pada mulanya, lelaki tersebut mahu pulang mengikut jalan biasa iaitu Lebuhraya Karak namun sesat sehingga melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan tiba di Ipoh, Perak petang semalam. Dia turut berkongsikan perjalanan pulangnya menerusi akaun Facebooknya di mana dia menganggarkan perjalanan itu mengambil masa 3 hari dan 20 jam.

peta

Menurut isterinya, suaminya itu sudah sebulan hilang pekerjaan dan dihalau daripada rumah sewa milik majikannya. Selepas memikirkan masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur, suaminya nekad mahu pulang ke kampung halaman walaupun terpaksa berjalan kaki.

Perjalanan yang jauh itu juga telah membuatkan tapak kasutnya rosak kerana terlalu lama berjalan kaki.

kasut pecah

Dia turut memaklumkan sepanjang perjalanan di Lebuhraya PLUS, dia pernah mencuba untuk menumpang lori namun gagal. Difahamkan sebaik tiba di Ipoh, ada anggota bomba yang simpati dan mahu menghantarnya sehingga ke Gerik memandangkan kisah pemuda berkenaan sudah tular di media sosial.

Dalam satu video dimuatnaiknya, dia berkata hampir pitam setelah dua hari tidak makan nasi dan hanya bergantung kepada minuman isotonik. Lelaki itu juga menolak sebarang sumbangan wang yang ingin diberikan kepadanya kerana menurutnya dia tidak tergamak untuk mengambil duit orang lain semasa tempoh kritikal ini.

“Tadi nak pitam dah rasa. Rehat sekejap, bangun beli air. Makan nasi. Dah dua hari tak makan nasi. Minum 100 plus je sejak kelmarin lagi.

“Dah makan nasi rasa segar sekejap. Jadi kita jalan kaki pulak nak sampai Gerik. Segar dah sikit ni. Mata pun nampak elok dah. Tadi gelap gelita nak rebah.”

Pada jam 11 malam tadi, Matnoe Poksu Din memberitahu telah selamat tiba di kampung halamannya menerusi perkongsian di Facebook. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang membantu perjalanan pulangnya itu selepas kisahnya viral di media sosial.

Selepas selamat tiba, dia berjanji akan segera menjalankan ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga selepas mendapat nasihat daripada orang ramai. Malah, dia sempat bergurau yang dia tidak akan berjalan kaki untuk ke hospital kali ini.

Sebelum ini, seorang pemuda di Sabah juga melakukan perkara yang sama apabila sanggup berjalan kaki pulang ke kampungnya selama tiga hari. Untuk baca artikel penuh, klik pautan di bawah.

Artikel berkaitan: Pemuda Balik Kampung Berjalan Kaki Selama 3 Hari, Bimbang Orang Lain Mendapat Jangkitan COVID-19

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Comments are closed.

Loading...